Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
BN bantu ADUN bebas: Muhyiddin
Diterbitkan:  Oct 30, 2009 7:18 PM
Dikemaskini: 11:21 AM

Barisan Nasional (BN) sedia menimbang untuk membantu wakil-wakil rakyat Bebas yang menyokong parti itu dalam menjalankan tugas mereka bagi menjamin kepentingan rakyat tidak terjejas, kata Tan Sri Muhyiddin Yassin hari ini.

Timbalan perdana menteri yang juga timbalan pengerusi BN berkata BN sedia menimbang perkara tersebut sekiranya ada permintaan daripada wakil-wail rakyat Bebas tersebut.

Ia bertujuan untuk membantu melicinkan tugas mereka demi menjaga kepentingan rakyat, katanya kepada para pemberita selepas menyaksikan Majlis Menandatangani Perjanjian Pembangunan Kolej Marlborough di Iskandar Malaysia, di sebuah hotel di Putrajaya.

Ketika diminta menggulas mengenai ADUN Pelabuhan Klang, Badrul Hisham Abdullah keluar daripada PKR dan mengisytiharkan dirinya wakil rakyat bebas yang menyokong BN, Muhyiddin berkata:

"Kenyataan Badrul yang hilang kepercayaan terhadap kemampuan kepimpinan dan kewibawaan pemimpin PKR punca beliau berbuat demikian menandakan kepimpinan PKR semakin meruncing sekarang."

Badrul Hisham membuat kenyataan tersebut di ibu negara semalam.

Muhyiddin berkata pengakuan Badrul Hisham itu mempunyai makna yang amat besar terhadap tahap kepimpinan pemimpin parti pembangkang itu sehingga mereka sendiri hilang keyakinan.

Mengulas kenyataan Menteri Besar Selangor Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim kononnya Badrul Hisham tidak "kompeten" dalam menjalankan tugas sebagai wakil rakyat, Muhyiddin berkata ia hanyalah dalih Khalid bagi mengabui kenyataan kepimpinannya (Khalid) sendiri yang lemah.

Ketika diminta mengulas dakwaan kononnya BN merasuah Badrul Hisham supaya bertindak demikian, timbalan perdana menteri berkata ia merupakan suatu tohmahan semata-mata kerana mahu menjadikan BN sebagai "kambing hitam" apabila parti pembangkang itu sendiri yang menghadapi masalah kepimpinan. BERNAMA


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

ADS