Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Seorang kontraktor berpengalaman di Kampar berkata jambatan gantung yang runtuh dan mengorbankan tiga murid sekolah peserta kem 1Malaysia di situ malam Isnin lalu, mungkin dibina tanpa mengikut prosedur.

Pengarah urusan syarikat Jeram Bersatu Corporation, Mohd Kamal Rabaai berkata sekiranya prosedur itu dipatuhi, jambatan gantung di kawasan SK Kuala Dipang itu tidak mungkin runtuh dengan mudah.

NONE "Kalau tengok pada jambatan yang runtuh itu, saya rasa ujian tanah pun tidak dibuat," kata beliau yang juga telah meninjau kesan jambatan yang runtuh itu.

Mohd Kamal yang berpengalaman membina jambatan berkata, beliau mendapati tapak asas yang memegang sangga kabel jambatan itu, dibuat terlalu tohor dan tidak menggunakan cerucuk.

"Saya nampak ada yang tidak betul. Tapak asas pemegang kabel itu tak cukup dalam. Sepatutnya kena ada cerucuk, kurang-kurang pun 30 kaki," katanya.

Kontraktor berusia 41 tahun itu juga berkata, beliau percaya jambatan gantung itu direka bentuk sedemikian untuk menjimatkan kos.

"Kalau jambatan gantung macam ini saya ingat tak sampai RM30,000. Kalau dia bina jambatan konkrit mungkin cecah hingga RM200,000," kata Mohd Kamal.

Mengikut prosedur, katanya, seseorang kontraktor pada awalnya perlu memperolehi dokumen "surat mula kerja" daripada Jabatan Pelajaran Negeri Perak (JPN).

Dalam bidangkuasa JPN

"Ini kerana jambatan itu dibina dalam kawasan sekolah dan kawasan ko-kurikulum - kedua-duanya di bawah bidang kuasa JPN," kata Mohd Kamal yang berpengalaman sebagai kontraktor am selama 10 tahun.

Katanya lagi, seseorang kontraktor itu juga perlu membuat ujian tanah di kawasan terbabit serta ujikaji makmal.

Ahli perniagaan itu juga menjelasnya, khidmat ini disediakan oleh jabatan kerja raya dan juga oleh makmal-makmal swasta.

"Daripada ujian makmal ke atas tanah itu, barulah kita dapat tahu bentuk tanah di situ dan apa bahan yang perlu digunakan serta rekabentuk yang sesuai," kata Mohd Kamal lagi.

NONE Setelah pembinaan selesai, tambahnya, JPN juga perlu mengeluarkan "surat boleh guna" untuk mengesahkan projek berkenaan selesai.

Menurut Mohd Kamal lagi, JKR tidak perlu menyelia projek berkenaan kerana JPN sendiri mempunyai unit teknikal untuk kerja-kerja kejuruteraan sivil seperti ini.

Dalam pada itu, beliau turut menjelaskan bahawa beliau tidak terlibat langsung dalam pembinaan jambatan maut itu.

"Saya tidak kenal siapa yang bina. Ada yang kata dari Kuantan, dari Pahang, macam-macam...," katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

ADS