Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Masalah dalam Pakatan Rakyat di Selangor berpunca daripada Pesuruhjaya PAS Datuk Dr Hassan Ali dan bukannya pemimpin lain dalam parti itu, kata seorang ahli parlimen DAP.

"Masalahnya dengan Dr Hassan sahaja. Dengan wakil rakyat yang lain tidak ada masalah. Macam wakil rakyat PAS Dr Shafie Abu Bakar (di Bangi) semua ini tidak masalah," kata wakil rakyat Serdang, Teo Nie Ching.

Beliau diminta mengulas keputusan mesyuarat khas PAS kelmarin yang memutuskan untuk mengheret PAS Selangor ke depan jawatankuasa disiplin parti itu ekoran isu-isu yang ditimbulkannnya – antaranya melibatkan kontroversi kawalan alkohol dan kritikannya terhadap siasatan DUN Selangor.

teo nie ching uncensored 120908 03 Dihubungi Malaysiakini , Teo berkata, kontroversi dalam pentadbiran di Selangor yang diakibatkan PAS selama ini berpunca daripada "masalah komunikasi" dalam menyalurkan pandangan masing-masing.

"Masalahnya komunikasi. Dalam parti, terdapat pelbagai pandangan tetapi soalnya bagaimana cara sesuatu pandangan itu hendak disuarakan?

"Dr Hassan yang selalu mengkritik keputusan exco di akhbar sebelum berbincang (dengan DAP dan PKR), itu memang tidak elok," katanya.

Mengalu-alukan campur tangan jawatankuasa pusat PAS semalam, Teo bagaimanapun berkata, masih terlalu awal untuk meramalkan keberkesanan tindakan itu selagi jawatankuasa disiplinnya belum membuat keputusan.

"Saya rasa kita perlu juga tengok apa keputusannya (jawatankuasa disiplin) nanti.

"Perkara ini masih belum tentu, kalau keputusan jawatankuasa disiplin PAS memutuskan Dr Hassan tidak bersalah, bagaimana?" katanya, yang juga timbalan ketua publisiti DAP.

"Bagaimanapun, saya rasa ia sesuatu yang bagus. Saya harapkan campur tangan pihak tertinggi PAS supaya perjalanan parti itu bertambah baik, sekali gus melancarkan hubungan dengan parti-parti lain dalam Pakatan di Selangor."

Ditanya sama ada tindakan mengheret PAS Selangor kepada jawatankuasa disiplin parti itu terlalu lambat, Teo berkata:

"Setidak-tidaknya tindakan diambil. Ia sesuatu yang amat menggalakkan. Lebih baik lambat daripada tidak melakukannya."

pkr weekly pc 260707 haniza talha Sementara itu, seorang wakil rakyat PKR di Selangor berpendapat, tindakan jawatankuasa PAS pusat kelmarin membuktikan parti itu mengambil serius terhadap permasalahan di Selangor.

"Sebagai rakan dalam Pakatan, kita hormati keputusan menyiasat PAS Selangor. Kita menaruh harapan, PAS dapat menangani isu ini dengan lebih serius.

"Buat masa ini, kita tunggu dulu keputusan dan tindakan yang akan diambil terhadap PAS Selangor," kata ADUN Taman Medan, Haniza Talha.

Ditanya sama ada konflik dalam kerajaan Selangor disebabkan PAS Selangor atau Dr Hassan semata-mata, Haniza berkata, jawatankuasa disiplin "mampu mengenal pastinya".

Beliau juga tidak menganggap keputusan menyiasat PAS negeri itu terlalu lambat kerana mungkin telah terdapat inisiatif lain diambil bagi memulihkan masalah di negeri itu.

"Saya percaya ada tindakan. Cuma mungkin kali ini berbeza sedikit. Dulu mungkin dah dipanggil beri penjelasan dan diberikan amaran," katanya.

ADS