Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Jambatan gantung yang runtuh sehingga mengakibatkan seorang murid sekolah meninggal dunia dan dua lagi hilang dalam tragedi kelmarin dibina tanpa mendapat kelulusan Jabatan Kerja Raya (JKR).

Pengarah JKR Perak Datuk Dr Safry Kamal Ahmad memberitahu Malaysiakini hari ini, pihaknya juga tidak mengetahui kontraktor yang terlibat dengan pembinaan jambatan tersebut.

"Anggaran kos juga kita tidak boleh cakap kerana tidak ada penilaian kos yang dibuat," katanya ketika dihubungi petang ini.

Jelasnya, beliau juga tidak dapat memberi butiran berkenaan kerana maklumat tersebut tidak disampaikan kepadanya dari pihak pentadbiran SK Kuala Dipang, lokasi jambatan maut itu.

NONE Pelan pembinaan jambatan yang dibina merentasi sebuah sungai berhampiran sekolah itu di Kampar sepatutnya dirujuk kepada JKR terlebih dahulu sebelum diluluskan, tambahnya.

"Kalau ikut amalan biasa, kena rujuk kepada JKR terlebih dahulu," kata Dr Safry.

Jelasnya lagi, JKR seharusnya dirujuk memandangkan jambatan itu dibina dalam sebahagian kawasan sekolah.

"Kawasan tapak perkhemahan di seberang sungai itu juga termasuk dalam kawasan sekolah," katanya, sambil menambah struktur itu dibina tanpa merujuk sebarang agensi teknikal.

Jambatan baru sepanjang beberapa puluh meter di belakang kawasan sekolah itu siap dibina kira-kira dua minggu lalu untuk menghubung sekolah dengan tapak perkhemahan.

NONE Sewaktu kejadian pada 10.30 malam Isnin lalu, 22 murid sekolah rendah yang menyertai program perkhemahan 1Malaysia tetapi 19 lagi dapat diselamatkan.

Dr Safry, yang bakal menganggotai jawatankuasa khas untuk menyiasat kejadian berkenaan seperti diumumkan timbalan perdana menteri semalam, juga berkata:

"Setakat ini kita cuma dapat tahu tiangnya tercabut bersama dengan sangganya, sebab-sebab lain kita belum dapat pastikan lagi.

"Kita akan tengok aspek-aspek teknikal, butir-butir terperinci dalam pembinaannya serta integriti strukturnya."


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

ADS