Majlis Peguan Malaysia kecewa dengan keputusan kerajaan yang dilaporkan tidak akan mengambil tindakan lanjut dalam kes membabitkan klip video Lingam, sedangkan Suruhanjaya Diraja 2008 telah mengesahkan ketulenannya.
Dalam satu kenyataan hari ini, Presidennya, Ragunath Kesavan berkata persoalan yang dibangkitkan dalam klip video itu memerlukan jawapan.
Katanya, jika terdapat kebenaran dalam mana-mana dakwaan yang timbul, maka tindakan yang keras perlu diambil.
Ragunath berkata, kerajaan mesti melakukan yang terbaik untuk menyiasat perkara itu.
Ini, katanya, termasuk mengambil kira pengumuman yang dibuat dua hari lalu mengenai terdapatnya saksi utama untuk memberi keterangan.
Sehubungan itu, beliau menjelaskan bahawa bidang kehakiman yang jujur dan bebas daripada sebarang campurtangan, adalah kritikal kepada semua masyarakat.
"...dan keyakinan rakyat terhadap bidang kehakiman, dan kebebasannya, moral dan integritinya, adalah mustahak dalam proses keadilan," tambahnya.
Oleh itu, katanya, jika berlaku sesuatu yang tidak kena dalam bidang kehakiman - sama ada dalam proses pelantikan atau pengendalian kes-kes, atau perilaku hakim - ia mesti disiasat segera dan secara telus dan komprehensif, supaya rakyat yakin tiada wujud sebagai tindakan melindungi mana-mana pihak terbabit.
"Kerajaan mesti menunjukkan bahawa ia mempunyai keazaman politik untuk bertindak terhadap hasil siasatan Suruhanjaya Diraja 2008," katanya.
Isu tersebut, katanya, hanya boleh ditutup sekiranya semua bentuk penyiasatan dimanfaatkan sepenuhnya dan mereka yang melakukan kesalahan di hadap ke muka pengadilan.