Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita

Jabatan pendidikan prasekolah PAS akan membuang satu hadis yang didakwa palsu dalam buku teks kanak-kanak enam tahun dalam edisi baru, seawal-awalnya diterbit pada 2011, kata seorang pegawainya.

Jabatan itu yang mengurus Pusat Asuhan Tunas Islam (PASTI) akan mengeluarkan buku teks baru untuk murid tahap dua, kata setiausaha eksekutifnya Kamarul Arif Ambak.

PASTI masih lagi menggunakan buku Pelajaran Al-Quran – yang didakwa menyiarkan hadis palsu itu – cetakan tahun 2005.

"Sudah lama timbul isu ini, kita sudah bincang tiga, empat tahun lepas kerana masih ada yang berpandangan ia boleh dipakai.

"Kita masih belum tukar versi baru. Kita ambil perhatian, kita tidak mahu ada perbezaan pandangan sehingga menjadi perbalahan," katanya kepada Malaysiakini hari ini.

Beliau diminta mengulas dakwaan seorang ahli jawatankuasa Dewan Ulama PAS Pahang di blog peribadinya, Selasa lalu.

Khairul Azmi Ismail mendedahkan, hadis berbunyi "hubbul watan minal iman" atau maksudnya "mencintai tanah air itu sebahagian daripada iman" diletakkan di halaman 37 teks tersebut.

"Sebenarnya ia bukanlah hadis yang sahih atau hasan (boleh disebarkan) malahan dhaif (lemah) pun bukan, bahkan ia merupakan hadis yang palsu yang tidak sepatutnya dimasukkan ke dalam silibus anak-anak kita," katanya.

Selepas merujuk beberapa sumber ulama, beliau menyimpulkan bahawa "hadis ini memang jelas kepalsuannya, sehinggakan para ulama hadis tidak menjumpainya di mana-mana kitab pun dan tidak diketahui siapakah perawinya" dan "hadis palsu haram diajarkan melainkan untuk memberitahu kepalsuannya".

Khairul Azmi menggesa penyusun sukatan pelajaran PASTI membuat penelitian semula dan penambahbaikan terhadap teks-teks rujukan murid supaya kesilapan seumpama ini tidak berulang.

Menurut Kamarul Arif lagi, Jabatan PASTI PAS pada asalnya bercadang menerbitkan edisi baru buku teks itu tahun ini tetapi gagal kerana ia masih di peringkat penyusunan dan reka letak buku tersebut.

Tambahnya, kedua-dua proses tersebut "memerlukan masa yang agak panjang".


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

ADS