Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
MB harap kemelut PAS selesai lusa
Diterbitkan:  Oct 26, 2009 3:19 PM
Dikemaskini: 7:22 AM

Mursyidul Am PAS Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat berharap mesyuarat khas PAS pusat Rabu ini dapat menyelesaikan kemelut isu kepimpinan parti walaupun tiada muktamar agung khas (EGM) diadakan.

Menteri besar Kelantan itu berkata sama ada EGM ataupun mesyuarat khas PAS, ia sama saja asalkan ia dapat dijadikan platform untuk menyampaikan hasratnya kepada kepimpinan parti.

"Tidak apa asalkan benda yang sama, dulu orang Arab tidak boleh ziarah kubur tetapi Nabi Muhammad ubah boleh ziarah kubur," katanya selepas sidang Dewan Undangan Negeri Kelantan di Kota Darulnaim di Kota Bharu hari ini.

Semalam, Naib Presiden PAS, Salahuddin Ayub berkata PAS tidak akan mengadakan EGM seperti yang dicadangkan Nik Abdul Aziz sebelum ini, tetapi sebaliknya mengadakan mesyuarat khas Pas pusat bagi membincangkan isu parti.

Khamis lalu, Nik Abdul Aziz dalam blognya, www.bloktokguru.com mencadangkan supaya EGM diadakan bagi menukar ‘dua tiga kerat' pemimpin parti itu yang bermasalah bagi membersihkan parti daripada golongan pro-kerajaan perpaduan antara PAS dan Umno yang bertentangan keputusan Muktamar PAS Jun lalu.

Tiga pemimpin yang disebut dalam blognya ialah Timbalan Presiden, Nasharuddin Mat Isa; Setiausaha Agung, Datuk Mustafa Ali; dan Pesuruhjaya PAS Selangor, Datuk Dr Hassan Ali.

Jawatankuasa pusat PAS dengan barisan pesuruhjaya negeri akan membincangkan isu yang dibangkitkan oleh mursyidul am itu.

Lebih kurang 60 pemimpin parti itu, termasuk Datuk Nik Aziz yang juga pesuruhjaya PAS Kelantan, akan diundang ke mesyuarat khas PAS pusat itu.- BERNAMA


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

ADS