Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata Belanjawan 2010 yang dibentangkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak petang tadi tidak menyebut langsung tentang sektor pertahanan.
Sedangkan, kata bekas menteri kewangan itu, kerajaan baru-baru ini menyatakan untuk membela golongan tersebut sewaktu berkempen pilihan raya kecil DUN Bagan Pinang, awal bulan ini.
"Seingat saya inilah kali pertama ia berlaku," katanya selepas pembentangan Bajet 2010 di Dewan Rakyat petang semalam.
Penasihat PKR itu berkata terdapat beberapa kelemahan asas dalam menangani defisit belanjawan.
"Walaupun unjuran itu akan berkurangan kepada 7.4 peratus, tetapi kenyataan bahawa pelaburan kita menjunam - ini angka yang cukup mengejutkan - daripada RM19.7 bilion kepada RM3.3 bilion," katanya.
"Jumlah ini yang perlu disiasat dan diteliti kerana ia tidak selaras dengan negara-negara serantau seperti China dan India yang pelaburannya meningkat akhir-akhir ini."
Anwar juga berkata, bajet tersebut juga memperkenalkan bebanan baru kepada rakyat melalui caj penggunaan kad kredit sebanyak RM50.
Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng pula berkata, bajet itu satu bentuk diskriminasi dan tidak selari dengan tema '1Malaysia, Kemakmuran Bersama' apabila hanya memberikan pengurangan cukai kepada pekerja pengetahuan di Wilayah Iskandar semata-mata.
"Sebenarnya kemajuan hanya dipilih untuk kawasan-kawasan tertentu dan golongan-golongan tertentu sahaja," katanya.
Sementara itu Timbalan Presiden PAS Nasharuddin Mat Isa menyifatkan isu pembangunan industri halal "sekadar pengulangan tanpa pembaharuan seperti yang dinyatakan dalam belanjawan terdahulu".
"Secara realitinya Malaysia masih lagi ketinggalan dalam bidang ini berbanding dengan Thailand dan China yang bukan beragama Islam.
"Perkara ini tidak dipindahkan dalam bentuk tindakan walaupun sudah lama kita dengar," katanya.
Beliau menyambut baik manfaat-manfaat yang diberikan kepada rakyat melalui bajet tersebut, misalnya pengurangan cukai individu.