Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

kemaskini 4.09pm Solidariti Mahasiswa Malaysia (SMM) menyerahkan memorandum kepada Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) bagi membantah tindakan terhadap lapan aktivis pelajar Universiti Malaya kerana mengundang pemimpin politik menyertai aktiviti mereka di kampus berkenaan.

Memorandum berkenaan, yang diterima oleh timbalan menterinya Datuk Saifuddin Abdullah di Parlimen tengah hari ini, turut menyuarakan bantahan pertubuhan pelajar itu terhadap sistem pengundian elektronik, e-undi, bagi sesi pemilihan tidak lama lagi di universiti itu dan Universiti Kebangsaan Malaysia.

Presiden SMM Shazni Munir Mohd Ithnin berkata Saifuddin bagaimanapun tidak memberi jaminan untuk campur tangan dalam prosiding tatatertib melibatkan pemimpin dan aktivis Persatuan Mahasiswa Islam UM (PMIUM) dan Persatuan Bahasa Cina UM (PBCUM) yang akan bermula esok.

Dihubungi Malaysiakini selepas penyerahan itu, beliau menjelaskan, Saifuddin akan menasihati UM supaya "mengikut semangat pindaan Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU)" dalam mengadili kes melibatkan pelajar-pelajar berkenaan.

Pemimpin PMIUM Muhammad Haafizuddin Abererah dan Abu Ubaidah Amir Abdul Malik dituduh membenarkan setiausaha kepada menteri besar Selangor, Nik Nazmi Nik Ahmad melibatkan diri dalam aktiviti pertubuhan itu.

Pada 16 Mac lalu, Nik Nazmi menyampaikan ucapan perasmian mesyuarat agung persatuan tersebut selepas diseludup masuk ke kampus dengan motosikal seorang mahasiswa setelah kenderaannya dihalang.

Manakala enam aktivis PBCUM – yang enggan nama mereka didedahkan – dituduh mengundang exco kanan Selangor, Teresa Kok dan ahli jawatankuasa pusat MCA Wong Nai Chee mengadili satu program debat, bulan lalu.

Mereka terlibat menganjurkan pertandingan debat dalam bahasa Cina berjudul 'Antara Pakatan Rakyat dan BN: Yang Mana Lebih Menggelisahkan?'

Dua lagi pemimpin politik - wakil rakyat DAP Teoh Nie Ching dan seorang pemimpin MCA Selangor, Victor Gu - pula terlibat sebagai pendebat di acara itu yang dihadiri kira-kira 1,000 orang.

Prosiding tatatertib ini pada asalnya dijadualkan 12 Okt lalu tetapi ia dibatalkan saat akhir.

SMM menyifatkan tindakan disiplin terhadap lapan siswa itu bertentangan dengan pindaan AUKU tahun lalu.

"Tindakan ini jelas membunuh aktivisme mahasiswa dan melanggar peruntukan-peruntukan dalam pindaan AUKU, sedangkan tindakan pelajar-pelajar ini telah diperakui dalam akta tersebut," kata Shazni Munir.

Pelajar-pelajar, yang boleh dihukum antaranya penggantungan tempoh belajar dan dipecat daripada UM, akan menghadiri prosiding itu di fakulti kejuruteraan universiti itu, mulai 10 pagi.

Shazni Munir melahirkan rasa bimbangnya kemungkinan pelajar-pelajar berkenaan tidak mendapat keadilan sewajarnya daripada jawatankuasa tatatertib UM.

"Masalahnya pelajar-pelajar ini tidak dibenarkan diwakili peguam. Kita nasihati pelajar-pelajar ini supaya cuba yakinkan jawatankuasa (tatetertib) supaya tengok justifikasi tindakan yang diambil (pelajar dalam program)," katanya.

"Kita tengok universiti sekarang bertindak semakin melampau bila pelajar tidak buat tindakan yang boleh gugat universiti tapi dikenakan tindakan prosiding sebegitu rupa."

Mengenai bantahan terhadap pelaksanaan e-undi, beliau berkata SMM diyakinkan oleh Saifuddin dalam pertemuan mereka bahawa KPT tidak pernah mengeluarkan arahan kepada universiti untuk melaksanakan kaedah kontroversi tersebut.

"Beliau berkata tidak ada arahan daripada KPT untuk laksanakan e-undi, jadi pihak universiti tidak boleh guna hujah bawah mereka dapat arahan daripada KPT untuk dilaksanakan," katanya lagi.

ADS