Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Pucuk pimpinan Umno digesa supaya jangan meletakkan calon "payung terjun" dalam pilihan raya.

Ketika membuat gesaan tersebut, Wakil Umno Terangganu, Datuk Dr Rosli Mat Hassan berkata ketua bahagian pula tidak semestinya dipilih sebagai wakil rakyat.

"Saya tengok lebih 3/4 calon payung terjun terjun akhirnya menjadi tak berguna. Apa guna kita ambil calon payung terjun kalau kemudiannya dia rosakkan struktur parti?

"Jadi, tolonglah Datuk Seri presiden. Tiada lagi calon payung terjun selepas ini," katanya diikuti dengan keluhan daripada para perwakilan.

"Jadi ketua bahagian bukan untuk jadi wakil rakyat semata-mata. Saya pernah tengok di tempat-tempat lain, orang lain jadi calon tapi ketua bahagian dia tetap berada di depan untuk berarak dengan calon," katanya lagi.

Tambahnya, pemimpin-pemimpin Umno juga perlu mendekati golongan "Umno plus plus" seperti kelompok guru dan juga pentadbir masjid.

"(Menjadi masalah) apabila kita buat masjid, tapi kita tak pergi masjid. Kita buat sekolah tapi kita tidak kenal PIBG," katanya lagi.

Jelasnya lagi, kira-kira 2,500 guru di kawasan Dungun mempunyai hubungan baik dengan pemimpin-pemimpin Umno bahagian tersebut.

"Kita perlu insaf bahawa kita kini bukan minta simpati rakyat tapi biar rakyat yang rasa empati dengan perjuangan kita," katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

ADS