Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
40 gempa di Malaysia sejak 2007
Diterbitkan:  Oct 15, 2009 2:27 PM
Dikemaskini: 6:35 AM

Dalam tempoh hampir dua tahun, sejak penghujung 2007, Malaysia mencatatkan 40 gempa bumi lemah, tetapi yang ketara 37 daripadanya berlaku di sekitar garis sesar (garisan gempa bumi) Bentong di Pahang.

Tiga lagi gempa bumi itu berlaku di Manjung (Perak) dan Jerantut (Pahang).

Pengarah Jabatan Meteorologi Malaysia, Dr Rosaidi Che Abas berkata sejak November 2007 sehingga Mei tahun lepas sebanyak 29 gempa bumi dicatatkan di kawasan Bentong itu.

Kes terbaru pada 8 Okt lepas bagaimanapun mencatat gempa bumi paling kerap, sebanyak lapan kali dari pukul 4.45 pagi hingga 12.05 tengah hari, bermagnitud antara 1.1 hingga 2.8 skala Richter.

Kesemua gempa bumi itu dikesan di sekitar Bukit Tinggi dan Janda Baik yang mempunyai garis sesar berukuran 15 kilometer lebar dan 70 kilometer panjang.

Bagaimanapun hanya sekali, iaitu pada Mei 2008, jabatan berkenaan mengesan gempa lebih kuat berukuran 3.5 pada skala Richter.

"Apa yang boleh kita katakan ialah walaupun Bukit Tinggi dan Janda Baik berada di atas garisan gempa bumi, ia tidak mungkin melepasi ukuran 5.0 pada skala Richter dan ini bermakna, jika berlakupun gempa bumi, ia tidak akan merosakkan struktur bangunan yang kukuh.

"Kami tegaskan juga bahawa gempa berkenaan berlaku di sesar berkenaan dan bukannya di Banjaran Titiwangsa yang menjadi tulang belakang negara," katanya dalam temu bual dengan Bernama di Petaling Jaya.

Dakwa dinding, lantai retak

Penduduk di sekitar Bukit Tinggi dan Janda Baik di Pahang yang sering merasai gegaran setiap kali berlaku gempa bumi bermagnitud besar di negara jiran baru-baru ini meminta kerajaan melakukan kajian terperinci terhadap struktur tanah di kawasan itu.

Desakan mereka dikuatkan dengan dakwaan gegaran yang mereka rasai baru-baru ini ekoran gempa bumi kuat di Sumatera Barat pada 30 Sept bukan sekadar gegaran biasa kerana mereka ada mendengar bunyi letupan dan dapat merasai pergerakan tanah ketika gegaran itu berlaku.

Menurut mereka, walaupun tiada runtuhan bangunan, kebelakangan ini bila berlaku gegaran ada saja harta benda yang rosak dan dinding atau lantai rumah yang retak.

Penduduk bercerita, kawasan Janda Baik dan Bukit Tinggi mencatatkan gegaran pertama pada November 2007 ekoran beberapa siri gempa bumi yang berlaku di sekitar Indonesia dan Filipina.

Dalam hal ini Dr Rosaidi memberi jaminan bahawa pihaknya akan bekerjasama dengan Jabatan Geosains dan beberapa jabatan berkaitan untuk membuat kajian segera ke atas muka dan struktur tanah dan batuan di situ.

"Kami juga akan menemubual penduduk setempat mengenai apa yang dikatakan oleh mereka sebagai pergerakan bumi yang dirasai semasa gempa berlaku.

"Turut menarik minat kami ialah melihat kekuatan gegaran yang didakwa menyebabkan keretakan pada dinding dan lantai," katanya.

Dua kali gempa agak kuat

Dr Rosaidi menjelaskan bahawa setakat ini gempa bumi yang berlaku ialah di antara 1 batu hingga 10 batu di bawah permukaan bumi.

"Hanya dua kali gempa bumi berlaku dengan kekuatan antara 2.8 dan 3.5 pada skala Richter dan kedua-duanya pada kedalaman 10 batu di bawah muka bumi," katanya.

Malaysia kini mempunyai 13 stesen mengesan gempa di seluruh negara dengan tujuh daripadanya di Semenanjung, antaranya di Kulim Kedah dan yang terbaru di Jerantut Pahang, manakala enam stesen di Sabah dan Sarawak.

sumatra earthquake02 "Pegawai-pegawai kami bertugas 24 jam sehari. Mereka akan memaklumkan kepada pihak berwajib dan setiap apa yang mereka rekodkan adalah mengikut masa sebenar gempa berlaku," katanya.

Terdapat empat garis sesar (garisan gempa bumi) di negara ini iaitu di Jerantut, Bentong, Kuala Lumpur dan yang terbaru di Manjong Perak.

Dalam pada itu Ketua Pengarah Jabatan Meteorologi Dr Yap Kok Seng berkata gempa bumi berskala kecil iaitu kurang daripada 2.8 pada skala Richter tidak menyebabkan kerosakan harta benda atau kehilangan nyawa.

"Kejadian gempa bumi yang berlaku di sekitar Bukit Tinggi merupakan satu proses penstabilan semula struktur batu-batan di sekitar Zon Garis Sesar Bukit Tinggi.

"Proses penstabilan ini dipercayai berlaku ekoran daripada himpitan batu-batan akibat beberapa kejadian gempa bumi bermagnitud besar yang berlaku sejak beberapa tahun lalu.

Gempa bumi bermagnitud besar itu ialah pada 26 Dis 2004 di Aceh, Nias (28 Mac 2005) dan yang terbaru di Padang (30 Sept lalu, foto kana n) dan Bengkulu (1 Okt lalu), semuanya di Indonesia.

Panduan rakyat hadapi gempa

Kekuatan gempa bumi diukur menggunakan mesin seismograf dan direkodkan ukurannya dalam skala Richter di antara 1.0 hingga 10.0.

Gempa bumi pada ukuran 1.0 skala Richter memang terlalu kecil yang boleh berlaku setiap hari dan biasanya tidak dirasai manusia.

Ukuran dari 7.0 hingga 10.0 pada skala Richter ialah gempa bumi paling kuat yang berlaku dalam masa 10 hingga 20 tahun, menurut Pusat Maklumat Rakyat (PMR) Jabatan Penerangan Malaysia.

PMR yang boleh diakses dalam talian itu turut memasukkan maklumat mengenai bagaimana kita harus bersedia untuk gempa bumi dan apa yang harus kita lakukan semasa berlaku gempa bumi.

Secara terperinci ia menyenaraikan tindakan yang boleh diambil sekiranya anda berada di dalam bangunan ketika gempa bumi berlaku, sekiranya anda di dalam bangunan tinggi, di laluan dekat bangunan, di dalam kereta yang bergerak dan apa yang harus dilakukan selepas gempa bumi.

Setakat ini Jabatan Meteorologi memberi jaminan tiada ancaman gempa bumi bermagnitud tinggi yang dijangka berlaku di negara ini, namun tidak salah membaca panduan itu untuk pedoman dan menambah pengetahuan. BERNAMA


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

ADS