Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Dalam tempoh kira-kira sejam, kesemua tujuh usul pindaan Perlembagaan Umno yang dibentangkan dalam perhimpunan agung khas Umno hari ini diluluskan sebulat suara.

Kecuali beberapa orang perwakilan yang bangun memberi cadangan terhadap usul berhubung pindaan menggantikan yuran tahunan kepada yuran seumur, enam lagi usul diluluskan tanpa bahas.

Pengundian dijalankan secara angkat tangan.

Usul-usul tersebut ialah:

* Penambahan jumlah perwakilan kepada 146,500 anggota bagi pemilihan pimpinan tertinggi Umno dan barisan pemimpin peringkat bahagian. Melalui usul pindaan ini juga, semua ketua sayap parti peringkat cawangan dicadangkan menjadi perwakilan secara

automatik.

* Memperkenalkan sistem pendaftaran menggantikan sistem kuota pencalonan. (Syarat minimum untuk menjadi calon akan ditetapkan oleh Majlis Tertinggi Umno);

* Pelantikan wakil Pergerakan Wanita untuk mengisi kerusi jawatankuasa peringkat cawangan, bahagian dan MT;

(Pindaan ini menjadikan jumlah anggota yang dilantik bertambah, iaitu bagi MT daripada 12 kepada 13 orang, anggota jawatankuasa peringkat bahagian daripada tujuh kepada lapan orang, dan jawatankuasa cawangan daripada lima kepada enam orang);

* Pemilihan bagi peringkat bahagian dan pucuk pimpinan tertinggi akan diadakan secara serentak, dan dengan itu sebuah

Jawatankuasa Pemilihan Umno akan ditubuhkan untuk menyelia dari segi logistik dan kos. (Anggota jawatankuasa akan dilantik Presiden parti);

* Penghapusan yuran tahunan keahlian dan digantikan dengan yuran seumur hidup;

* Memberi mandat kepada ketua-ketua Pergerakan Pemuda, Wanita dan Puteri peringkat cawangan untuk mengesahkan keahlian baru; dan

* Mengiktiraf setiausaha bahagian sebagai perwakilan ke Perhimpunan Agung Umno secara automatik.

Sebelum itu, cadangan pindaan tersebut dibentangkan oleh Pengerusi Jawatankuasa Induk Pindaan Perlembagaan Umno Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein dan disokong oleh Ketua Umno Johor Bahru, Datuk Shahrir Samad.

Proses pindaan perlembagaan tersebut berjalan laju kerana ianya merupakan kompilasi cadangan dari akar umbi sendiri.

Sewaktu Hishammuddin membaca cadangan pindaan, para perwakilan terus menerus berkata "setuju".

Malah, pengerusi tetap persidangan, Datuk Badaruddin Amiruldin secara berseloroh berkata "kalau macam ini, cepat boleh makan".

Beliau juga kemudiannya mengumumkan bahawa perhimpunan agung khas itu selesai dan kembali kepada perhimpunan agung Umno dan menangguh persidangan sehingga jam 2.30 petang ini.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

ADS