Naib Presiden Umno, Datuk Shafie Apdal hari ini menegaskan perlunya pemimpin Umno di semua peringkat supaya turun ke bawah untuk berkhidmat kepada rakyat dan tidak bersikap sombong.
Ini, katanya selaras dengan tuntutan Presiden Umno, Datuk Seri Najib Razak dalam ucapan dasarnya di perhimpunan agung Umno di PWTC pagi ini.
“Ucapan presiden hari ini menyatkan banyak perkara, antaranya untuk menuntut perubahan dalam Umno selari dengan kehendak zaman yang mencabar.
“Cabaran yang penting untuk dihadapi - sama ada dalam parti atau dalam kerajaan - dengan penuh semangat kental dan yakin serta kuat, berdasarkan kepada tradisi Umno yang membela orang Melayu.
“Iaitu tradisi untuk membela rakyat dan memulihkan dan memerintah negara tanpa mengira kaum, bangsa dan agama,” katanya kepada pemberita ketika diminta mengulas ucapan dasar presiden..
Katanya, presiden dalam ucapannya juga menyeru kepada kepimpinan akar umbi dan pucuk pimpinan di atas untuk terus berkhidmat turun ke bawah dan tidak bersikap sombong.
“Ini dapat dibuktikan bahawa dalam pilihanraya kecil DUN Bagan Pinang, rakyat masih lagi menyokong Umno,” katanya.
Ditanya mengenai mesej yang beliau dapat dari ucapan itu, katanya,Shafie berkata ia memberi inspirasi untuk menjadi landasan kepada perjuangan parti.
Sebagai contoh, katanya, dalam mesyuarat pra-MT malam tadi, Najib bercakap dengan penuh ikhlas mengenai perkara perkara yang menyentuh kepimpinan dalam parti.
“Ucapannya hari ini pula cukup terbuka, apatah lagi membicarakan tentang pindaan perlembagaan yang akan memberi peluang kepada 146,000 perwakilan untuk menentukan siapakan yang akan memimpin Umno dan pemerintahan negara.
“Itulah keberanian beliau dan kita perlu berubah,” katanya.