Tanggapan Umno sebagai sebuah parti "untuk cari makan" mestilah dikikis untuk menjayakan slogan 1Malaysia "rakyat didahulukan, pencapaian diutamakan", kata Datuk Seri Najib Razak.
"Umno tidak boleh dilihat sebagai sebuah parti yang hanya ghairah memperjuangkan kelompok yang sedikit.
"Sebaliknya, kita mahu Umno dilihat, dirasai, serta diyakini sepenuhnya sebagai sebuah parti inklusif yang mendahulukan rakyat dan bukannya mendahulukan diri sendiri," kata presidem Umno.
"Maka itu, persepsi Umno sebagai parti untuk cari makan mesti dibuang jauh-jauh, mesti ditinggalkan."
Bertemakan 'Menjunjung Tradisi, Menzahir Perubahan', Najib menyampaikan ucapan sulungnya sebagai pemimpin nombor satu parti ketika merasmikan perhimpunan agung Umno ke-60 di Kuala Lumpur pagi.
Beliau juga mempertikaikan semangat perjuangan ahli parti, termasuk ingin keselesaan dan tidak bersedia berkhidmat kepada Umno dengan sukarela dan ikhlas.
"Sekarang, kalau tidak dapat hotel lima bintang, ramai yang mengeluh sakit-sakit badan. Tidak standard dan tidak kelas, katanya," kata Najib lagi.
"Apa yang cuba saya utarakan di sini adalah, ke manakah hilangnua budaya khidmat dan kesukarelawanan dalam Umno?
"Kalau hendak diikutkan, begitu ramai golngan profesional seperti peguam, doktor, akauntan dan jurutera yang menjadi ahli.
"Malangnya, di saat-sat kita memerlukan kerja-kerja sukarela umpamanya pada musim pilihan raya, begitu sedikit yang tampil membantu dengan ikhlas tanpa mengharapkan balasan."
Beliau juga mahu melihat Umno terus menjadi parti menjuarai rakyat dengan memberatkan kebajikan semua dan periuk nasi semua rakyat.
"Umno tidak boleh lagi kelihatan sebagai parti yang hanya dilihat condong kepada satu-satu pihak sahaja," katanya di depan kira-kira
2,500 anggota perwakilan.
Tambahnya, Umno tidak mampu ditanggap hanya sebagai bertumpu kepada inisiatif niaga besar-besaran atau projek mega semata-mata,
tetapi mesti menjadi parti yang menjuarai rakyat.
"Khidmat Umno harus merata. Kita akan tetap menjadi parti yang pro kepada pertumbuhan ekonomi berdaya tahan, pengagihan kekayaan yang adil, jaringan keselamatan sosial menyeluruh dan kos hidup terkawal," katanya.
Dalam pakaian baju Melayu cekak musang berwarna biru cair dan bersampin songket biru muda, Najib berkata amat mustahak Umno menjadi parti yang berpegang kepada falsafah bersederhana atau parti aliran tengah.
"Umno tidak boleh menjadi parti yang ultra kiri atau ultra kanan," katanya, sambil menjelaskan bahawa fahaman Umno semenjak penubuhannya bukanlah condong sama ada kepada fahaman liberal mahupun fahaman konservatif.
Petikan teks ucapan 'Menjunjung Tradisi, Menzahir Perubahan'
Menjengah kembali perjuangan parti, untuk sentiasa memperoleh sokongan massa, Umno harus dilihat, ditanggap serta diyakini sebagai parti yang ampuh membela untung nasib rakyat. Umno tidak boleh dilihat sebagai sebuah parti yang hanya ghairah memperjuangkan kelompok yang sedikit.
Sebaliknya, kita mahu Umno dilihat, dirasai serta diyakini sepenuhnya sebagai sebuah parti inklusif yang mendahulukan rakyat dan bukannya mendahulukan diri sendiri. Maka itu, persepsi Umno sebagai parti untuk cari makan mesti dibuang jauh-jauh, mesti ditinggalkan.
Amat mustahak lagi, Umno menjadi parti yang berpegang kepada falsafah ‘wasatan’ yakni bersederhana, atau, dengan apa yang disifatkan oleh ilmu sains politik sebagai “centrist party”. Kita tidak boleh menjadi parti yang ultra kiri atau ultra kanan. Waima, fahaman Umno semenjak penubuhannya bukanlah condong sama ada kepada fahaman liberal mahupun fahaman konservatif.
Hakikat yang jelas, Umno adalah parti siasah yang semesta. Semua pihak mempunyai tempat dan peranan di bawah lembayung Umno. Malah, semenjak penubuhannya lebih 60 tahun yang lalu, Umno telah dianggotai mereka yang berfahaman kiri dan kanan, golongan nasionalis mahupun agamawan.
Termasuklah juga lapis golongan pemikir dan pedagang, pendidik dan pejuang serta pelbagai latar sosio ekonomi. Semuanya dialu-alukan dalam Umno. Tuan-tuan dan puan-puan, inilah kekuatan Umno, inilah lambang kebitaraan perjuangan Umno yang sebenar, sebagai sebuah parti tercinta yang menjiwai keluh kesah, denyut nadi dan nurani semua golongan masyarakat.
Wadihnya, dalam usia lebih enam dekad, Umno adalah parti yang sarat dengan pengalaman. Umno bukan sebuah parti yang baru tetapi kaya dengan warisan. Pelbagai denai, onak dan duri telah ditempuhi. Bak kata orang, perjalanan ini menjadi rahmat dan sekali gus juga bebanan.
Ia adalah rahmat kerana kita bukannya parti yang hanya pandai berkata-kata tanpa mempunyai rantaian rekod yang boleh menyokong janji-janji tersebut kepada rakyat. Bebanan pula timbul apabila kita berhadapan dengan pelbagai isu legasi yang mengancam survival bangsa dan negara.
Selama ini, Umno dihormati dan disegani sebagai sebuah parti politik oleh kawan mahupun lawan disebabkan UMNO adalah sebuah parti yang mendapat sokongan majoriti orang-orang Melayu dan Bumiputera. Seandai dan sekiranya, sokongan ini terhakis, maka Umno tidak akan disegani kawan dan tidak lagi dihormati lawan.
Lantaran itulah, suka atau tidak, kekuatan Umno sebagai sebuah organisasi politik amat bergantung kepada kemampuannya untuk memahami kehendak para ahli.
Manakala, kerelevanan Umno sebagai sebuah parti pemerintah pula bergantung kepada sejauh mana ia berjaya menangkap imaginasi bukan sahaja di kalangan orang Melayu tetapi juga yang lebih utama kepada seluruh rakyat Malaysia.
Ertinya di sini, Umno akan terus mendapat tempat sebagai sebuah parti, selama mana kehendak dan kemahuan rakyat dapat dizahirkan dalam perjuangan parti, seterusnya dimanifestasikan pula dalam gerak kerja penggubalan dasar-dasar kerajaan demi kepentingan rakyat menyeluruh.
Di persimpangan ini, masalah tidak akan timbul apabila aspirasi Umno dan aspirasi majoriti rakyat Malaysia adalah satu. Kekalutan hanya akan wujud jika tasawwur Umno tidak lagi mewakili tasawwur rakyat terbanyak.
Hal ini ditambahburukkan lagi oleh persepsi di kalangan orang Melayu bahawa Umno tidak bersedia untuk mengambil langkah-langkah pembetulan secara pantas.
Jika perkara tersebut berlaku, maka rakyat akan menganggap bahawa Umno bukan sahaja parti yang tidak berpijak di bumi nyata, malahan bersikap angkuh serta kelihatan tidak acuh dan tidak peduli.
Jadi, janganlah hairan jika perkara ini terjadi nanti, ramai rakyat Malaysia akan melihat Umno bukan lagi sebagai sebahagian daripada penyelesaian, sebaliknya ia sudah berubah menjadi sebahagian daripada masalah.
Oleh sebab itu, untuk terus lestari, Umno tidak ada pilihan melainkan perlu membumi dan mendakap realiti. Umno perlu terus membuka rongga dan ruang pembaikan. Kuak dan kembangkanlah seluas-luasnya wadah perjuangan kita kepada semua yang ingin membantu memperkukuhkan lagi parti.
Selaku presiden Umno, saya dengan ikhlas menyeru kepada semua orang Melayu, demi maslahah ummah, marilah bersama-sama membentuk satu saf yang berasaskan pertautan pemikiran dan tindakan untuk merungkai kekusutan, memulihkan silaturrahim serta memacu kepentingan bersama.
Seperti mana pepatah lama, air dicincang tidak akan putus, buanglah yang keruh, kita ambillah yang jernih, agar bangsa yang mulia ini terus dimartabatkan.
Dalam masa yang sama, ahli-ahli Umno, baik di peringkat kepimpinan tertinggi mahu pun ahli biasa, perlu kerap melakukan muhasabah. Kita perlu bersedia untuk menilik ke dalam diri, melihat kelemahan dan memperbetulkan kekhilafan.
Seterusnya, mengambil langkah untuk memperbaiki kelemahan dan kekurangan tersebut. Apa yang penting, ahli-ahli Umno perlu mewajahkan perilaku mulia dan nilai-nilai murni sebagai asas jati diri dan kekuatan parti.
Pada hemat saya, dalam perkara ini, antara sifat pemimpin yang paling didambakan dan digemari rakyat adalah sifat merendah diri dan tawadhuk. Ingatlah bahawa, dalam negara demokrasi seperti ini, rakyatlah yang memilih pemimpin. Pemimpin yang mereka mahukan adalah pemimpin yang sentiasa bersedia memberikan khidmat.
Saya ingin berpesan, janganlah segan untuk turun ke bawah dan merapatkan diri dengan akar umbi sekali pun kita menyandang jawatan tinggi. Bak kata pepatah, ular menyusur akar tidak akan hilang bisanya.
Malah rakyat akan membenci pemimpin yang memisahkan diri dari mereka, sukar didekati, apatah lagi pemimpin yang sombong dan bongkak. Mereka yang menunjukkan keikhlasan dan merasai keseronokan menabur bakti kepada rakyat akan menjadi pemimpin yang disanjung.
Selain itu, para pimpinan Umno dan ahli-ahli seharusnya terkenal dengan integriti apabila diberikan tugas dan amanah. Ini amat mustahak dalam meyakinkan rakyat untuk terus bersama Umno.
Jika persepsi negatif tentang integriti dan etika pemimpin Umno menular, ia dengan sendirinya akan menjadi faktor utama menjauhkan sokongan rakyat terhadap kita.
Tambahan lagi, untuk mengukuhkan kepercayaan rakyat tentang kewibawaan dan integriti Umno, ia bukan sahaja setakat dilaungkan, tetapi ia juga mesti dipampang dengan jelas dalam bentuk amalan, tindak-tanduk dan aktiviti juga gerak kerja semua ahli dan pemimpin.
Insya Allah nantinya rakyat akan dapat menerima semula, secara sepenuh hati, parti kita ke pangkuan mereka.