Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
'Umno dilihat tidak penuhi aspirasi generasi baru'
Diterbitkan:  Oct 13, 2009 9:52 PM
Dikemaskini: Oct 14, 2009 2:05 AM

Umno tidak dilihat memenuhi aspirasi generasi baru dengan pemikiran yang segar dan dilihat sebagai parti eksklusif yang semakin renggang daripada massa, kata Timbalan Presidennya, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Menurutnya, pilihan raya umum yang lalu menjadi bukti generasi muda masih belum menghayati perjuangan Umno sepenuhnya, katanya.

"Gerak kerja parti dalam hal penambahan ahli dan pengundi baru pula kelihatan lesu.

"Inilah antara contoh-contoh cabaran yang belum ditangani," katanya sewaktu merasmikan serentak perhimpunan agung Wanita, Pemuda dan Puteri Umno di PWTC di ibu negara malam ini.

Dalam ucapannya itu juga, Muhyiddin menggesa ketiga-tiga sayap parti terutama kepada Pemuda dan Puteri untuk meraih semula sokongan generasi muda melalui pemugaran idealisme perjuangan parti.

"Generasi muda pada hari ini adalah generasi yang mengutamakan cetusan akal, bukan letusan emosi.

"Justeru, tidak ada jalan pintas bagi kita untuk menyantuni generasi muda melainkan kita dapat meyakinkan mereka dengan asas-asas perjuangan kita secara tuntas dan rasional.

Bergerak dari sekarang

"Untuk itu, pergerakan Pemuda dan Puteri perlu bangkit sebagai satu wadah pemimpin muda Melayu yang petah dan tangkas untuk mengenengahkan citra perjuangan Umno," tambahnya.

Muhyiddin yang juga timbalan perdana menteri menggesa ketiga-tiga sayap menjadi sebagai satu pasukan yang mantap dan padu demi memperkasa perjuangan parti untuk terus memacu ke hadapan.

"Pergerakan Wanita, Pemuda dan Puteri mesti mara ke hadapan sebagai satu pasukan yang mantap dan padu untuk memikul amanah perjuangan.

"Setialah kepada prinsip, satukanlah hati-hati, bulatkanlah tekad, bergeraklah dalam satu wadah menuju satu matlamat.

"Hindarilah kemilau harta dan permata yang melemahkan daya juang, jauhkanlah diri daripada perebutan kuasa yang membinasa, jadilah juru bicara hati nurani rakyat yang berkat," katanya.

Sambil menyatakan keyakinan beliau bahawa kepimpinan ketiga-tiga sayap parti mampu mendepani cabaran, beliau menasihatkan mereka agar sentiasa menggarap potensi, menggilap kerohanian diri, meningkatkan ilmu pengetahuan dan kemahiran serta mengukuhkan kualiti kepimpinan.

"Bagi memastikan agar Umno kembali menjadi parti yang memberi harapan baru, saya ingin mengajak ketiga-tiga sayap untuk menetapkan Penunjuk Prestasi Utama Politik, atau Political Key Performance Indicator iaitu menambah ahli baru, mendaftar pengundi baru dan membentuk jaringan dengan pertubuhan bukan kerajaan.

"Saya memberi tempoh masa dua tahun untuk saudara saudari mencapai sasaran. Kita sudah tidak ada masa. Gerakan ini mesti bermula sekarang," katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

ADS