Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Isa menang, sokongan kepada PM
Diterbitkan:  Oct 11, 2009 8:42 PM
Dikemaskini: Oct 12, 2009 2:51 AM

dikemaskini Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, kemenangan calon BN Tan Sri Isa Samad yang cukup besar menggambarkan sokongan pengundi terhadap kepimpinan perdana menteri.

"Keputusan ini amat bererti. Dengan peningkatan lebih 110 peratus, melebihi keputusan calon sebelum ini menunjukkan peningkatan yang cukup besar.

"Ia menggambarkan pernyataan sikap pengundi di Bagan Pinang dan menggambarkan pernyataan sikap (rakyat) terhadap kepimpinan Datuk Seri Najib (Razak), selaras dengan konsep Satu Malaysia," kata timbalan perdana menteri.

Muhyiddin mengulas kemenangan besar Isa dengan majoriti lebih besar – 5,435 undi – dalam pilihan raya kecil kerusi DUN itu sejurus selepas ia diuumumkan secara rasmi oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) di Port Dickson kira-kira jam 8 malam ini.

Bekas menteri besar itu mendapat 8,013 undi, sementara calon PAS Zulkefly Mohamad Omar pula meraih hanya 2,578 undi.

Muhyiddin berkata, sokongan positif masyarakat pelbagai kaum kepada BN kali ini merupakan hasil kerja keras semua pihak yang sentiasa mengambil inisiatif memberikan penjelasan terhadap isu-isu yang ditimbulkan.

Ditanya sama ada sokongan tersebut akan berterusan, Muhyiddin berharap ia menjadi titik permulaan baru kepada parti itu.

"Kita tidak boleh hanya sukacita, tanpa berusaha dan mengambil iktibar daripada kemenangan ini," tambahnya.

Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Mohamad Hassan pula berkata, kemenangan Isa itu tanda kepercayaan rakyat supaya BN terus menggiatkan lagi khidmat kepada rakyat.

"Kita tidak janjikan apa-apa tetapi kita mahu lihat kepimpinan Datuk Seri Najib dan konsep Satu Malaysia diterjemahkan kepada rakyat di peringkat akar umbi," katanya.

Sementara itu, Naib Presiden PAS Salahudin Ayub berkata kekalahan calonnya itu akibat tindakan BN yang menggunakan taktik menggertak pengundi khususnya di kawasan ladang.

"Hari ini hari yang malang dan gelap bagi Malaysia, kerana ikon rasuah diterima dalam pilihan raya," katanya di bilik gerakan parti di Batu 3 di Port Dickson.

Menerima keputusan pahit tersebut, beliau berkata PAS akan terus memperjuangkan isu yang dibawanya dalam lapan hari berkempen di Bagan Pinang, terutama isu undi pos.

Salahudin, yang bertindak sebagai pengarah pilihan raya PAS kali ini, mengucapkan perhargaan kepada pengundi.

Zulkefly berkata, PAS akan mengadakan bedah siasat yang menyeluruh berhubung kekalahan teruk mereka di lubuk BN ini.

Beliau, yang juga pesuruhjaya PAS Negeri Sembilan, mengakui bahawa bukan mudah untuk parti itu menang pada pilihan raya kecil ini tetapi Pakatan Rakyat akan sentiasa membuat percubaan terbaik untuk berdepan dengan pelbagai halangan.

[Laporan disediakan oleh Abdul Rahim Sabri, Jimadie Shah Othman dan dibantu oleh Salhan K Ahmad di Bagan Pinang]

ADS