Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Menang lebih penting dari majoriti, kata Najib
Diterbitkan:  Oct 8, 2009 11:07 AM
Dikemaskini: Oct 9, 2009 3:27 AM

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak berkata memperoleh kemenangan adalah lebih penting bagi BN dalam pilihan raya kecil DUN Bagan Pinang, daripada saiz majoriti kemenangan.

"Usah kata menang besar atau kecil, asalkan menang. Yang penting menang," katanya.

Perdana menteri memberitahu demikian kepada wartawan yang membuat liputan lawatan rasmi empat harinya ke Perancis yang berakhir semalam.

Najib berkata BN perlu bekerja bersungguh-sungguh dan menjalankan kempen yang berkesan agar mesej diterima pengundi untuk membolehkan keputusan memihak kepada BN.

Menurutnya, beliau dimaklumkan kempen BN berjalan lancar dan mendapat sambutan menggalakkan.

"Ikutkan sambutan sangat baik tapi kita kena teruskan usaha sampai akhir kempen," katanya.

Pilihan raya kecil itu diadakan berikutan kematian penyandangnya Azman Mohammad Noor daripada BN pada 4 September lalu.

Dalam pilihan raya kecil itu, calon BN Tan Sri Mohd Isa Abdul Samad, berdepan calon PAS Zulkefly Mohamad Omar.

Mengenai pindaan perlembagaan Umno, Najib yang juga presiden Umno, berkata ia bertujuan untuk menentukan proses pemilihan Umno berjalan dengan telus dan lebih terbuka serta mengurangkan kemungkinan pengaruh tidak sihat dalam pemilihan Umno, seperti politik wang.

Namun keputusan muktamad mengenai cadangan pindaan perlembagaan itu akan dibuat pada perhimpunan agung khas Umno, katanya.

Najib berkata beliau bersikap terbuka bahawa daripada segi jawatan presiden pun, beliau tidak mahu berselindung di sebalik kuota atau syarat-syarat ketat.

"Saya menganggap apa yang penting proses pemilihan jawatan-jawatan tinggi adalah hak mutlak ahli Umno, semangat di sebalik pindaan perlembagaan," katanya.

Mengenai parti Makkal Sakti, Najib berkata beliau telah menerangkan kepada MIC bahawa sokongan masyarakat India terhadap BN tidak terhad kepada parti yang menganggotai BN sahaja, malah terdapat juga parti luar BN yang menyokong BN, misalnya Barisan Progresif India (IPF).

"Parti-parti ini juga beminat sokong BN, jadi kenapa kita tak terima mereka penyokong BN walaupun tidak jadi anggota BN," katanya.

- Bernama

ADS