Dua papan tanda DAP di kawasan pilihan raya kecil DUN Bagan Pinang diturunkan oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) hari ini, dalam satu operasi yang turut disertai anggota polis dan anggota penguatkuasa Majlis Perbandaran Port Dickson (MPPD).
Sehubungan itu, Pengerusi DAP Negeri Sembilan, Anthony Loke mendakwa SPR telah bertindak berlebihan dan mendakwa beliau sendiri telah ditakut-takutkan oleh anggota polis berkenaan, dalam kejadian kira-kira jam 4.30 petang ini.
Bercakap dalam sidang media, beliau berkata, pasukan yang diketuai pengarah SPR negeri itu mengambil masa kira-kira 10 minit untuk merobohkan dua papan tanda dan menurunkan empat kain rentang.
"Mereka cuma mahu turunkan papan tanda, tetapi kenapa perlu ada ramai anggota polis," katanya yang turut mendakwa dihalang daripada berunding dengan pegawai SPR.
"Saya cuma dapat bercakap dengan pengarah SPR negeri selepas mereka turunkan papan tanda berkenaan.
"Beliau kata papan tanda saya terlalu sensitif dan mungkin menimbulkan kebencian kaum dan ini melanggar Akta Pilihan Raya," katanya lagi.
Tidak ada pertembungan
Sebaliknya, Antony mendakwa, isu kematian Teoh Beng Hock dan A Kugan yang diterakan pada papan tanda berkenaan tidak mengandungi apa-apa perkataan berbaur perkauman.
"Kalau kita tidak dapat sebutpun fakta kes ini, apa perlunya mengadakan pilihan raya kecil?" soalnya.
Katanya, insiden berkenaan tidak berpanjangan kerana hanya beliau dan beberapa pekerja parti yang berada di bilik gerakan DAP, kira-kira 40 meter dari kedudukan papan tanda berkenaan.
Anthony mendakwa, semasa papan tanda diturunkan, ada sekumpulan penyokong BN berdekatan.
Beliau mendakwa, kumpulan kira-kira 20 orang itu berteriak 'Hidup BN'.
Beliau berkata, pihak polis sepatutnya menyuraikan kumpulan tersebut sekiranya benar mereka bertindak dengan adil.
"(Tindakan penyokong BN) itu provokatif. Kalau polis bertindak adil, kenapa tidak suraikan mereka.
"Nasib baiklah hanya saya dengan beberapa orang pekerja parti yang ada di sini, jika tidak tentu ada pertembungan," katanya lagi.