PAS mempertahan tindakan PKR dan DAP melancarkan "provokasi poster" terhadap BN walaupun parti itu mendesak Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menurunkan papan tanda BN yang menyerang PAS di Bagan Pinang.
Menjelaskan pendirian yang bercanggah itu, pengarah operasi pilihan raya PAS Dr Dzulkefly Ahmad berkata parti-parti Pakatan Rakyat berhak menaikkan papan-papan tanda berkenaan selagi BN tidak menurunkan kesemua papan tanda yang didakwa "menimbulkan prasangka jahat" terhadap calon parti itu Zulkefly Mohamad Omar.
PAS membuat laporan polis terhadap tindakan jentera BN menaikkan papan-papan tanda yang membawa mesej "Tolak PAS" dan "Usah biarkan diri anda terus dipesongkan."
Aduan polis berkenaan dibuat oleh PAS apabila menyedari BN telah menyalahi peraturan pilihan raya.
"Selagi semua papan tanda yang bersangkutan dengan BN yang beri kebebasan kepada mereka untuk serang kami, selagi ada, selagi itulah kami berhak dalam demokrasi, dan atas padang sama rata, kami juga berhak mengangkat papan tanda kami," kata Dr Dzulkefly dalam satu sidang media di markas parti itu di Port Dickson hari ini.
"Jadi ini merupakan kritikan yang adil dan sama rata," katanya.
"Selagi mereka tak turunkan semua, kita juga berhak untuk mengangkat daripada DAP, PKR ataupun PAS. Begitu sikap kami."
BN juga menaikkan papan tanda Pakatan Rakyat atau "PR = politik rusuhan", merujuk demonstrasi besar anti-ISA 1 Ogos lalu.
Menjelaskan insiden melibatkan papan tanda "Tolak BN Zalim" yang dinaikkan DAP di Batu 10, Port Dickson semalam, Ketua Pemuda DAP Anthony Loke berkata badan pemantau SPR ke bilik gerakan DAP di situ dan meminta parti itu menanggalkan papan tanda tersebut.
"Saya tidak membenarkan penguatkuasa SPR turunkan sebab kenyataannya isu yang kita bawa itu adalah (isu kematian) A Kugan dan Teoh Beng Hock.
"Kedua-duanya isu yang pernah berlaku dan bukan kita reka-reka. Ia adalah isu sebenar," katanya pada sidang media sama.
"Jadi apa yang menjadi sensitif? Ia (pemantau SPR) kata isu sensitif, saya tanya apa yang sensitif kerana itu isu yang telah berlaku.
"Jadi tidak ada sebab untuk kita tanggalkan," katanya, yang juga ahli parlimen Rasah dan ADUN Lobak, Negeri Sembilan.
Calon PAS bertarung satu lawan satu dengan calon BN Tan Sri Isa Samad, bekas menteri besar dan juga ketua bahagian Umno Telok Kemang, pada pengundian 11 Okt ini.