Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Makkal Sakti ada agenda tersembunyi?
Diterbitkan:  Oct 7, 2009 2:54 PM
Dikemaskini: 7:17 AM

Pelancaran parti politik Makkal Sakthi pada Sabtu ini menimbulkan tanda tanya dalam kalangan masyarakat India tentang kemungkinan wujudnya agenda tertentu di sebalik penubuhannya.

Lantas reaksi orang ramai, terutamanya kaum India, ialah sama ada Makkal Sakti akan menjadi parti alternatif atau sekadar mahu mendorong perubahan dalam MIC yang sejak 63 tahun lepas mewakili komuniti itu.

Dr S Sivamurugan, penganalisis politik di Fakulti Sains Sosial Universiti Sains Malaysia (USM), berpendapat penubuhan parti politik baru seperti Makkal Sakti tidak boleh dianggap sebagai parti alternatif kepada MIC.

"Tak mungkin ada parti dapat menggantikan MIC tetapi Makkal Sakthi boleh menjadi parti alternatif bagi menyelesaikan masalah kaum India yang gagal ditangani oleh MIC," katanya.

Sivamurugan berkata Makkal Sakthi boleh berfungsi sebagai platform untuk memujuk dan mengumpulkan parti komponen India lain seperti Barisan Progresif India (IPF) dan Parti Progresif Penduduk (PPP) yang enggan bekerjasama dengan MIC tetapi menyokong BN, agar dapat menyumbang kepada kemajuan masyarakat India.

"Jika parti-parti politik India bekerjasama mereka dapat membantu 30 peratus rakyat India yang berada di bawah garis kemiskinan.

"Mereka boleh sama-sama bantu mendapatkan pekerjaan kepada generasi muda, bantuan pendidikan kepada pelajar India dan memberikan bantuan kebajikan bagi yang memerlukan," katanya.

Satu tinjauan rambang Bernama di Jalan Brickfields dan Lebuh Ampang, dua kawasan di ibu negara yang popular dalam kalangan kaum India untuk membeli-belah, mendapati reaksi yang hampir serupa.

Ada yang mengakui bahawa MIC merupakan parti yang memperjuangkan hak kaum India untuk tempoh yang lama, namun kini tidak disukai disebabkan oleh gelagat beberapa pemimpinnya.

"Kemarahan masyarakat India terhadap kepimpinannya dan bukan terhadap parti berkenaan," kata S Thiagarajah, 40, bekas guru yang kini menjalankan perniagaan sendiri.

M Alice, 58, pula berharap kehadiran Makkal Sakthi akan menimbulkan kesedaran dalam kalangan pemimpin-pemimpin MIC yang sebelum ini bersikap sambil lewa melaksanakan tanggungjawab mereka.

"Kini mereka akan bangun dari tidur dan mula sedar tentang pentingnya sokongan rakyat India terhadap parti itu, jika tidak mereka akan terus lupakan tanggungjawab mereka, sedangkan rakyatlah yang menjadi kunci kepada jawatan yang disandang oleh mereka kini," katanya.

M Nanthini, 33, seorang pegawai syarikat swasta, berpendapat saingan daripada parti baru adalah baik untuk MIC.

"MIC adalah parti utama mewakili masyarakat India, dan ia akan wujud selama-lamanya. Namun, sebagai satu pilihan, kita perlukan sebuah parti lain supaya MIC sentiasa akan memberikan perkhidmatan terbaik kepada kaum India," katanya.

S Tamilmagan, seorang pekerja swasta, pula berkata MIC memang berjasa kepada masyarakat India tetapi parti itu tidak bersatu.

"Jadi, jika ada sebuah parti baru yang boleh menyatukan semula kaum India, apa salahnya?" katanya.

P Ganesh, 23, pelajar kolej swasta tempatan berkata, kemunculan Makkal Sakti sedikit sebanyak akan dapat menyedarkan pemimpin MIC untuk berubah. BERNAMA

ADS