Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

kemaskini 1.51pm "Politik murahan", demikian reaksi menteri pengajian tinggi terhadap tindakan sekumpulan pelajar berkempen di Bagan Pinang bagi membantah e-undi di tiga lagi universiti dalam pilihan raya kampus.

"Dengan hanya tidak bersetuju dengan satu sistem, dengan mengandaikan bahawa berlaku penipuan dan sebagainya, adalah politik murahan," kata Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin pagi ini.

"Itu publisiti murahan. Apatah lagi hendak dibuat di Bagan Pinang? Apa pendirian pelajar ini dan apa maksud sebenar yang hendak mereka lakukan?"

campus poll protest 260905 Beliau diminta mengulas tindakan Solidariti Mahasiswa Malaysia (SMM) yang turut serta dalam kerancakan suasana pilihan raya kecil itu bagi membantah sistem pengundian berkomputer, atau dikenali juga e-undi, tidak lama lagi.

Semalam Malaysiakini melaporkan kumpulan pelajar berkenaan ke kawasan pilihan raya itu sejak hari penamaan calon pada Sabtu lalu bagi membantah e-undi di Universiti Malaya (UM), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dan Universiti Utara Malaysia (UUM) pada sesi pemilihan terbaru Majlis Perwakilan Pelajar (MPP).

Bercakap dalam sidang media selepas merasmikan pembukaan Dialog Industri Kebangsaan 2009 di Putrajaya, Mohamed Khaled turut menyamakan tindakan SMM itu dengan sikap parti pembangkang.

"Sama saja macam pembangkang. (Mereka kata) Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) tidak adil. Bila dia menang, dapat kerajaan, tidak ada pula dia bising," katanya.

Tambahnya, pelajar yang dikenal pasti terbabit dalam pilihan raya kecil itu boleh dikenakan tindakan, seperti termaktub dalam Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU).

"Satu bab lagi, kalau kita dapati terdapat pelajar terlibat dalam pilihan raya kecil ini, dan memang di bawah AUKU – sebelum dan selepas dipinda – tidak sewajarnya.

"Kita akan ambil tindakan terhadap mereka jika kita dapat tahu. Saya tidak akan bertoleransi dengan mereka yang melanggar undang daripada dulu lagi," jelasnya.

Mohamed Khalid juga berkata, bantahan terhadap penggunaan e-undi tersebut tidak selari dengan perkembangan zaman dan teknologi kerana banyak negara lain seperti Amerika Syarikat turut menggunakan sistem sedemikian.

"Saya ingat banyak negara pakai e-undi. Pilihan raya Amerika Syarikat untuk anak mudanya pakai e-undi.

"Kita cakap mengenai zaman teknologi ICT, kemudian satu kumpulan pelajar yang sepatutnya berpendidikan dan selari dengan zamannya tidak percaya dengan penggunaan ICT bagi memilih wakil mereka. Saya rasa ini hanya permainan politik," katanya.

[Baca reaksi: E-undi: Pelajar tempelak menteri ]

Kaedah mengundi secara elektronik mula diperkenalkan di Universiti Putra Malaysia (UPM) pada 2003 dan kemudian di Universiti Islam Antarabangsa (UIA) - juga dalam suasana penuh bantahan.

Selain menerima bantahan bertubi-tubi oleh beberapa kumpulan pelajar sejak ia diperkenalkan, kumpulan pelajar UPM sendiri pernah memulaukan pilihan raya kampus mereka selama dua tahun berturut-turut, 2005 dan 2006.

Sementara itu, Mohamed Khalid menjelaskan, pilihan raya kampus di seluruh negara akan bermula pada pertengahan bulan ini sehingga awal tahun depan, bergantung kepada keputusan di peringkat universiti masing-masing.

Malaysiakini difahamkan penamaan calon bagi pilihan raya kampus UUM akan berlangsung Khamis ini, manakala pengundian dijadualkan pada 12 Oktober.

Sementara di Universiti Malaysia Perlis pula, pilihan raya kampus bermula esok.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

ADS