Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Bekas mufti Perlis, Dr Mohd Asri Zainul Abidin berkata, pertukaran atau pemecatan iman di negeri itu dibuat bukan berdasarkan aliran agama mereka, tetapi sebaliknya mungkin kerana masalah sikap.

"Dulu di zaman saya, Imam Sunnah pun pernah diberhentikan kerana terlalu kuat, keras dan garang dengan pandangannya. Masalahnya (mengenai) sikap," katanya yang baru baru pulang daripada cuti sabatikal di luar negara.

Dr Mohd Asri diminta mengulas dakwaan terdapatnya usaha mengembangkan aliran Wahabi - yang juga dirujuk sebagai "Sunnah Perlis" atau Salafi - melalui pertukaran imam Masjid Al-A'la, Behor Temak baru-baru ini.

Semalam, Malaysiakini melaporkan, Dr Mohd Asri turut didakwa menjadi pemula usaha pengembangan tersebut, yang kemudiannya diteruskan oleh penggantinya, Dr Juanda Jaya.

Dua imam terbabit - yang tidak mengamalkan fahaman Wahabi - telah menerima surat arahan pertukaran pada 18 Ogos lalu, yang didakwa bertujuan memberikan tekanan kepada mereka supaya melepas jawatan tersebut.

Sebagai tanda bantahan, ketiga-tiga imam masjid itu bertindak meletakkan jawatan sebagai pada 31 Ogos lalu.

Ketika dihubungi Malaysiakini petang semalam, Dr Mohd Asri menjelaskan, terdapatnya pelbagai faktor yang membolehkan Majlis Agama Islam Perlis (MAIPs) menukar atau menamatkan perkhidmatan seseorang imam.

Masalah perbezaan aliran

"Mungkin masalah peribadi, macam-macam boleh jadi. Takkan majlis agama nak cerita perkara itu kepada media," katanya yang kini dilantik sebagai ahli mesyuarat MAIPs.

"Selama ini pun kita tidak ambil tindakan apa-apa. Ada iman buat (solat) tarawih 20 rakaat pun tidak ada apa-apa.

"Cuba kalau di Selangor, saya dengar dulu ada yang dikenakan tindakan apabila tidak buat (solat) tarawih 20 rakaat. (Negeri mana) yang mana lebih jumud?" soalnya.

Bagaimanapun, menurut Dr Mohd Asri yang juga pensyarah agama di Universiti Sains Malaysia (USM) itu, oleh kerana Perlis mengamalkan fahaman tersebut sejak daripada sebelum merdeka lagi, maka iman-iman terbabit dinasihatkan mengikutinya bagi tujuan penyelarasan.

dr mohd asri zainul abidin perlis mufti Dr Mohd Asri - seorang tokoh agama yang terkenal degan kelantangannya - berkata, masalah perbezaan aliran di Perlis selama ini berpunca daripada sikap fanatik terhadap mazhab Shafie yang diamalkan secara meluas di negara ini.

"Masalahnya bermula apabila ada imam yang bersikap fanatik terhadap mazhab Shafie," jelasnya.

Walaupun negeri-negeri di Malaysia mengamalkan Mazhab Syafie dalam pengamalan fekah masing-masing, tetapi Perlis merupakan satu-satunya negeri yang tidak terikat dengan mana-mana mazhab, sebaliknya menggunapakai hujah yang terkuat daripada keempat-empat mazhab utama bagi mengeluarkan sesuatu hukum.

Perdebatan agama sentiasa tercetus apabila terdapat beberapa fatwa dan pengamalan fekah yang berbeza diamalkan, antaranya seperti melaungkan azan hanya sekali untuk solat Jumaat, tidak membaca talqin untuk jenazah dan tidak membaca doa qunut dalam solat Subuh.

Aliran yang diasaskan oleh Muhamad Abdul Wahab di Arab Saudi pada 1701 itu turut popular di Arab Saudi, Kuwait, Qatar, Somalia, Algeria, Palestin dan Mauritania.

Di Malaysia, ia dikembangkan oleh tokoh-tokoh Kaum Muda yang mendapat pendidikan agama di Timur Tengah sebelum kemerdekaan negara pada tahun 1957.

Asas-asal fahaman aliran ini dikembanggkan daripada pandangan-pandangan Ibnu Taimiyyah - tokoh pembaharuan Islam pada abad kelima selepas kewafatan Nabi Muhammad - yang membawa idea menyucikan agama dengan kembali kepada ajaran al-Quran dan Sunnah, menggalakkan ijtihad dan menolak bid'ah dan tahyul dalam agama.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

ADS