Umno Telok Kemang tetap tidak berganjak daripada pendirian mereka mereka untuk terus menamakan Tan Sri Isa Samad dalam pilihan raya kecil DUN Bagan Pinang walau hanya tinggal seminggu.
Ketua Wanitanya Rohani Yaakob berkata pemimpin atasan Umno bagaimanapun berhak untuk memilih calon yang sesuai dengan mengambil kira pandangan bahagian berkenaan.
"Kita sudah ada kata putus. Seluruh bahagian Teluk Kemang sebulat suara mahu Tan Sri Isa diletakkan sebagai calon," katanya kepada Malaysiakini .
"Setakat ini masih dibincangkan lagi (oleh pucuk pimpinan). Terpulanglah (presiden) hendak letak siapa," katanya lagi.
Umno masih bergelut dengan misteri calon bagi kerusi tersebut susulan tindakan bahagian itu dan badan perhubungan Negeri Sembilan yang menyerahkan satu nama sahaja.
Tindakan itu mendorong timbalan presidennya Tan Sri Muhyiddin Yassin, juga ketua jentera pilihan raya BN, meminta beberapa nama lagi - sehingga kini tidak pasti nama baru yang diserahkan.
Dihubungi hari ini, Rohani bagaimanapun enggan mengulas peluang BN menang jika bekas menteri besar itu yang terpalit dengan skandal politik wang dalam Umno.
Isa dilucutkan jawatan naib presiden, dan beliau kemudian meletakkan jawatan sebagai menteri wilayah persekutuan, atas kesalahan politik wang semasa pemilihan parti 2004.
"Itu saya tidak boleh komen banyak, takut nanti timbul masalah," katanya lagi.
Diminta mengulas mengenai usaha PAS untuk berkempen kepada kira-kira 4,600 orang pemilih pos di kem-kem tentera dan balai-balai polis di kawasan pilihan raya itu, Rohani berkata perkara itu sukar untuk dilakukan.
"Sebelum ini memang kita tidak tahu sekiranya mereka ada masuk dalam kem. Kali ini kalau mereka masuk senyap-senyap pun kita tidak tahu.
"Kem askar memang susah untuk masuk buat ceramah," katanya lagi.