Angkatan Tentera Malaysia (ATM) belum menerima laporan berhubung dakwaan kereta perisai pasukan negara jenis Condor di Lubnan bersama misi Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (UNIFIL) dalam keadaan yang amat uzur.
"Saya harus meneliti laporan itu terlebih dahulu sebelum membuat sebarang kenyataan," Panglima ATM Jeneral Tan Sri Azizan Ariffin dipetik berkata selepas pertemuan dengan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak di Putrajaya hari ini.
Menurut laporan Bernama , sebuah blog menyebut bahawa pasukan Malaysia yang bernaung di bawah panji-panji UNIFIL memerlukan kereta perisai baru bagi menggantikan kereta perisai sedia ada.
Penulis blog itu, yang tidak dinyatakan, berkata ATM difahamkan akan menggantikan kenderaan tersebut beberapa bulan lagi.
Mengulas pertemuan dengan perdana menteri, Azizan berkata kekukuhan aset ATM perlu ditingkatkan bagi memastikan kawalan keselamatan keseluruhan negara berada pada tahap yang optimum seperti amanat yang disampaikan oleh Najib.
Beliau juga berkata, perdana menteri berharap melihat barisan pertahanan negara dibentengi oleh angkatan tentera yang komited dan memiliki aset yang berkeupayaan untuk menangkis sebarang ancaman dari luar.
"Beliau juga mahu supaya anggota-anggota tentera bekerjasama dengan Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk membanteras dan membasmi sebarang ancaman yang datang dari dalam negara," Azizan dipetik berkata.
Tambahnya, pertemuan itu antara lain membincangkan mengenai pengurusan aset dan pembangunan infrastruktur ATM serta pelaksanaan beberapa perancangan keupayaan aset yang dimiliki.
"Saya telah sampaikan kepada Perdana Menteri berhubung beberapa panduan kita untuk membangunkan keupayaan ATM, aset-aset perangnya berpandukan kepada dokumen 4D-MAF (4D-MAF ialah Agenda Utama Untuk Merealisasikan Transformasi ATM).
"Kita hanya akan menggunakan dokumen ini sebagai landasan kepada pembangunan keupayaan ATM," katanya.