Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Sultan mahu rakyat sokong k'jaan BN
Diterbitkan:  Sep 24, 2009 3:59 PM
Dikemaskini: 8:01 AM

Sultan Pahang Sultan Ahmad Shah mahu rakyat negeri itu terus menyokong kerajaan BN agar lebih banyak pembangunan sosial, ekonomi dan pendidikan dapat dilaksanakan untuk faedah mereka.

Baginda bertitah, rakyat perlu terus bersama kerajaan kerana agenda pembangunan yang dirancang dalam jangka pendek dan panjang bakal memberi manfaat berterusan kepada mereka.

Sambil memberi contoh pembinaan jambatan Kuala Krau merentangi Sungai Pahang yang berharga RM64 juta, baginda bertitah usaha itu merupakan agenda pembangunan mapan bagi memberi keselesaan kepada penduduk yang tinggal di kedua-kedua belah sungai berkenaan.

"Jambatan Kuala Krau berfungsi memendekkan perjalanan di antara Bandar Tun Razak, Jengka dengan Kuala Krau 20 minit berbanding satu jam sebelum ini yang jaraknya sejauh 55 kilometer.

"Di samping itu, jambatan ini juga akan menjadi pemangkin kemajuan ekonomi kepada penduduk di sekitar Bandar Tun Razak, Jerantut dan Temerloh di mana ia memendekkan perjalanan menjadi 22 kilometer sahaja dengan memberi manfaat kepada 60,000 orang penduduk dari daerah Jerantut, Temerloh dan Maran," titahnya kepada pemberita selepas melawat tapak jambatan Kuala Krau hari ini.

Turut hadir Menteri Besar Pahang Datuk Seri Adnan Yaakob, Timbalan Menteri Pengajian Tinggi Datuk Saifuddin Abdullah, anggota parlimen Kuala Krau Datuk Ismail Mohamad Said, ADUN Jenderak Datuk Mohamad Jaafar dan pegawai daerah Temerloh Datuk Dr Salehudin Ishak.

Dalam pada itu, baginda turut meminta Jabatan Kerja Raya (JKR) membina laluan motosikal bagi menjamin keselamatan penunggang yang melalui jambatan berkenaan.

Terdahulu, Pengarah JKR Pahang Datuk Ir Rosman Yahaya dalam taklimat ringkas kepada baginda berkata, jambatan yang mula dibina pada Ogos 2007 itu dijangka siap pada Februari tahun depan dan kini ia sudah 82 peratus siap.

Katanya jambatan empat lorong sepanjang 490 meter dan lebar 13.9 meter itu mempunyai reka bentuk yang menarik dan bakal menjadi mercu tanda bagi kawasan parlimen Kuala Krau. BERNAMA


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

ADS