Mesyuarat pengurusan Umno dan badan perhubungan Umno Negeri Sembilan baru-baru ini tidak berbincang mengenai Tan Sri Mohd Isa Abdul Samad yang dikatakan sebagai calon untuk bertanding bagi pilihan raya kecil Bagan Pinang.
Timbalan Presiden Umno, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata calon BN akan diketahui selepas mendapat kelulusan pucuk pimpinan dan hanya akan diumumkan di majlis sambutan Hari Raya Aidilfitri di Bagan Pinang pada 29 September ini.
"Kita akan mengambil kira pandangan semua pihak. Yang penting kita mahu calon yang berwibawa, dihormati dan diterima pengundi serta mampu menjalankan tugas," katanya yang tidak mahu mengulas mengenai senarai nama calon yang dipertimbangkan, lapor Bernama.
Sebelum ini, Umno bahagian Teluk Kemang sebulat suara mencadangkan Isa yang juga ketua Umno bahagian tersebut sebagai calon BN bagi pilihan raya kecil tersebut.
Bagaimanapun, beberapa tokoh termasuk mantan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad tidak bersetuju Isa dicalonkan kerana beliau pernah disabitkandengan kesalahan rasuah politik.
Dr Mahathir berkata, imej Umno akan terjejas kerana dianggap tidak serius dalam memerangi politik wang sekiranya masih meletakkan mereka yang sudah didapati bersalah dalam rasuah politik sebagai calon.
Ahli Parlimen Gua Musang, Tengku Razaleigh Hamzah juga turut menasihatkan Umno supaya mengambil iktibar daripada keputusan pilihanraya kecil Permatang Pasir, dalam memilih calon yang sesuai bagi mempertahankan kerusi DUN Bagan Pinang.
Dalam pilihanraya kecil DUN Permatang Pasir, isu pembatalan lesen guaman calon BN, Rohaizat Othman, berhubung kes pecah amanah membabitkan wang anak guamnya, telah dijadikan modal oleh PAS.
Dalam pilihanraya kecil pada 25 Ogos lalu itu, calon PAS, Mohd Salleh Man mendapat 9,618 undi untuk menewaskan Rohaizat dengan majoriti 4,551 undi. Rohaizat mendapat 5,067 undi.
Mengulas lanjut Muhyiddn berkata mesyuarat tersebut hanya mesyuarat biasa mengenai persediaan yang dibuat dan strategi serta pendekatan yang bakal digunakan dalam kempen pilihan raya itu.
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 3 Oktober ini sebagai hari penamaan calon manakala pengundian pada 11 Oktober.
Pilihan raya kecil itu diadakan berikutan kematian wakil rakyatnya daripada BN Azman Mohamad Noor akibat jangkitan kuman dalam darah pada 4 September lalu.
Sebelum itu, Muhyiddin menghadiri Rumah Terbuka Hari Raya Aidilfitri di
Seri Perdana.
Turut hadir pada hari terbuka itu ialah Menteri Pengangkutan yang juga
Presiden MCA Datuk Seri Ong Tee Keat dan bekas timbalan presiden MCA Datuk Seri Dr Chua Soi Lek.