Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Ku Li: Hati-hati pilih calon BN di Bagan Pinang
Diterbitkan:  Sep 18, 2009 2:29 PM
Dikemaskini: 7:05 AM

Ahli Parlimen Gua Musang, Tengku Razaleigh Hamzah menasihatkan Umno supaya mengambil iktibar daripada keputusan pilihanraya kecil Permatang Pasir, dalam memilih calon yang sesuai bagi mempertahankan kerusi DUN Bagan Pinang.

Dalam pilihanraya kecil DUN Permatang Pasir, isu pembatalan lesen guaman calon BN, Rohaizat Othman, berhubung kes pecah amanah membabitkan wang anak guamnya, telah dijadikan modal oleh PAS.

Dalam pilihanraya kecil pada 25 Ogos lalu itu, calon PAS, Mohd Salleh Man mendapat 9,618 undi untuk menewaskan Rohaizat dengan majoriti 4,551 undi. Rohaizat mendapat 5,067 undi.

tengku razaleigh 02 Tengku Razaleigh berkata pembangkang telah memenangi tujuh pilihanraya kecil di Semenanjung Malaysia selepas pilihanraya umum tahun lalu.

“Umno bertanding dalam enam pilihanraya kecil dan kalah semuanya. Kini tidak siapa yang boleh meragui bahawa rasa tidak puashati rakyat terhadap BN yang mengakibatkannya ia kehilangan lima negeri dan majoriti dua pertiga di Dewan Rakyat, masih belum pulih,” tulis Tengku Razaleigh dalam blognya.

Menurutnya, punca rasa tidak puashati rakyat terhadap BN itu adalah persepsi bahawa mereka yang memegang kuasa adalah angkuh dan korup.

Malah, katanya, pemilihan calon yang dibatalkan lesen guamannya sebagai calon BN di Permatang Pasir serta mengenepikan bantahan terhadap pemilihannya, telah mengesahkan persepsi tersebut.

Tindakan itu, katanya, telah menghantar mesej bahawa kedudukan Umno adalah tinggi daripada standard kesusilaan biasa.

“Kini seorang pemimpin muda Umno dipetik sebagai berkata bahawa satu-satu kriteria pemilihan calon ialah mereka boleh menang,” katanya sambil menyifatkannya sebagai satu pemikiran jangka pendek yang meletakkan Umno dan BN di tempat yang salah, sedangkan rakyat menuntut akuantabiliti dan ketelusan.

Oleh itu, Tengku Razaleigh mengingatkan kepimpinan Umno supaya mengambil iktibar isyarat daripada pengundi Permatang Pasir - dan dalam semua pilihanraya kecil sejak 8 Mac - dan lebih berhati-hati dalam memilih calon bagi pilihanraya kecil DUN Bagan Pinang.

Katanya, jika Umno terus memilih calon-calon yang tercemar rekodnya, maka rakyat mungkin akan membuat kesimpulan bahawa lebih baik bagi negara, jika Umno kalah.

Pilihan raya kecil kawasan itu akan diadakan pada 11 Oktober dan penamaan calon pada 3 Oktober. Ia diadakan berikutan kematian Azman Mohammad Noor dari BN pada 4 September akibat jangkitan dalam darah.

Sehingga ini dilaporkan Umno bahagian Teluk Kemang mahukan ketuanya, Tan Sri Isa Samad dipilih sebagai bagi pilihan raya kecil tersebut.

Bagaimanapun, mantan perdana menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad dilaporkan berkata, Isa tidak sepatutnya dipilih bertanding di situ.

Bekas perdana menteri itu berkata imej Umno akan terjejas kerana dianggap tidak serius dalam memerangi politik wang sekiranya masih meletakkan mereka yang sudah didapati bersalah dalam rasuah politik sebagai calon.

Isa digantung selama tiga tahun sejak 24 Jun 2005 kerana rasuah politik ketika pemilihan Umno 2004. Pada mulanya, dia digantung selama enam tahun atau dua penggal tetapi dikurangkan selepas beliau membuat rayuan.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

ADS