Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Shahrudin Abdul Hamid, yang ingin bertanding sebagai calon bebas pada pilihan raya kecil DUN Bagan Pinang, mungkin menghadapi masalah dengan masyarakat yang tidak berpuas hati dengan pelaksanaan skim insurans khairat kematian.

Beliau – yang pernah bertugas di pejabat ahli parlimen Teluk Kemang, Datuk Kamarul Baharin Abbas – turut dikaitkan dengan beberapa masalah tuntutan skim tersebut, satu projek kebajikan PKR di situ.

Selepas diperkenalkan pada penghujung tahun lalu, skim itu didakwa mendapat rungutan penduduknya yang mendakwa tertipu kerana gagal mendapat tuntutan yang dijanjikan.

Sumber-sumber PKR berkata, Shahrudin, yang terlibat dalam bahagian pentadbiran di pejabat itu, didakwa dipersalahkan masyarakat ekoran masalah projek itu.

Sumber yang lain pula menyatakan, bekas pemimpin Umno cawangan itu dipersalahkan bukan angkara masalah skim tersebut, tetapi prestasi kerjanya.

Sumber itu menjelaskan, skim tersebut tidak gagal, cuma pernah terdapat kes penduduk yang mengambil kesempatan dengan menyeleweng nama waris si mati bagi mengaut keuntungan segera, antaranya memalsukan maklumat permohonan.

"(Pemohonan) yang asli itu diteruskan macam biasa," kata sumber kepada Malaysiakini .

Shahrudin, ketika dihubungi kelmarin, enggan mengulas lanjut dakwaan itu.

"Saya tidak terlibat (dalam skim itu). Saya tidak pegang duit.

"Saya hanya terlibat dalam pentadbiran pejabat macam uruskan aduan rakyat dan sediakan surat dan fail sahaja," katanya.

Menjangkakan isu tersebut akan digunakan terhadapnya, Sharudin berjanji tidak akan menggunakan pendekatan serangan peribadi sebagai sebahagian daripada strategi kempennya jika bertanding di kerusi tersebut, yang bermula 3 Oktober nanti.

"Saya tidak guna serangan peribadi. Tetapi mengalah bukan bererti kalah. Saya mengalah demi kebaikan," katanya.

Setiausaha PKR Teluk Kemang, Rusli Abdullah dan beberapa pembantu khas Kamarul kelmarin ketika dihubungi untuk penjelasan lanjut isu tersebut turut enggan mengulas perkara itu.

Skim yang diusahakan dengan dengan kerjasama sebuah syarikat insurans terkenal itu dalam tiga polisi – pulangan RM1,000, RM3,000 dan RM5,000.

Difahamkan, ratusan penduduk di kawasan parlimen tersebut menyertainya kerana skim tersebut menawarkan "pelaburan yang minimum tetapi memberikan pulangan yang maksimum".

Malaysiakini sedang mendapatkan reaksi Kamarul berhubung masalah skim insurans tersebut.

ADS