Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Lima pesakit disamun lelaki berkopiah
Diterbitkan:  Sep 15, 2009 3:36 PM
Dikemaskini: 7:38 AM

Umpama sudah jatuh ditimpa tangga - lima pesakit yang sedang menunggu giliran untuk mendapat rawatan di sebuah klinik swasta di Jalan Beserah, Kuantan, disamun enam lelaki yang bersenjatakan sebilah parang.

Kejadian berlaku pada kira-kira pukul 2 petang semalam ketika mereka sedang menunggu untuk bertemu doktor, apabila seorang lelaki berkopiah memasuki premis klinik itu berpura-pura hendak membeli ubat di kaunter klinik berkenaan.

Timbalan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Negeri Pahang Supt Nordin Mustapha berkata klinik itu kemudiannya dimasuki tiga lagi lelaki, manakala dua lagi lelaki dilihat berkawal di pintu masuk klinik berkenaan.

"Mereka kemudiannya menyamun barang kemas dan telefon bimbit para pelanggan (pesakit) klinik berkenaan, salah seorang daripada mereka bersenjatakan parang," katanya kepada pemberita di Kuantan hari ini.

Beliau berkata pihak klinik kemudiannya membuat laporan polis berhubung kejadian itu, bagaimanapun menurutnya semua pesakit yang disamun dalam kejadian itu masih belum berbuat demikian.

"Kami harap semua mangsa kejadian itu datang buat laporan supaya polis dapat buat siasatan lebih terperinci. Menurut laporan awal, kerugian dianggar RM4,000.

"Semua suspek berumur antara 20 dan 30an itu sedang diburu polis," katanya. BERNAMA


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

ADS