Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

kemaskini 1.46pm Bekas menteri besar Selangor, Datuk Seri Dr Mohamad Khir Toyo berkata, beliau memberikan kerjasama penuh dalam siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) kerana tidak berniat menyembunyikan sesuatu.

"Saya sudah berikan kerjasama penuh. Saya berikan bil-bil yang diminta," katanya kepada Malaysiakini .

NONE "Saya tiada apa hendak disembunyikan. Dan ini bukan kali pertama saya dipanggil. (Tetapi) sudah empat, lima kali."

Ketua pembangkang Selangor diminta mengulas siasatan SPRM selama enam jam berhubung lawatannya bersama Permodalan Negeri Selangor Berhad ke Maghribi pada 2004 dan isu pembinaan banglo mewahnya di Seksyen 7 Shah Alam yang menjadi kontroversi Julai lalu (foto bawah) .

Menjelaskan tempoh masa siasatan itu, Dr Mohamad Khir berkata: "Tidak sampai enam jam, (cuma) campur dengan sembang-sembang."

Beliau enggan menjelaskan lebih lanjut keterangannya di ibu pejabat SPRM di Putrajaya sejak pukul 8.30 pagi semalam kerana perkara itu masih lagi dalam siasatan.

Dihubungi hari ini, beliau bagaimanapun menafikan disiasat berhubung penggunaan dana Badan Kebajikan dan Amal Isteri Wakil-wakil Rakyat Selangor (Balkis) ke Amerika Syarikat seperti dilaporkan media.

"Tidak ada kena mengana dengan Balkis, cuma tentang lawatan ke Maghribi," katanya.

khir toyo mansion 060709 06 Tambahnya, beliau ingin mengambil tindakan undang-undang terhadap akhbar itu berhubung laporannya yang didakwa tidak tepat.

"Saya sudah hantar surat tuntutan (guaman). Kalau ia tidak jawab dalam masa 14 hari, kita failkan saman," katanya.

Beliau, yang juga ADUN Sungai Panjang, turut dilaporkan mengelak daripada wartawan dan jurugambar – selepas siasatan tersebut pada 2.30 petang – yang menunggu di lobi ibu pejabat SPRM dengan menggunakan laluan paras bawah tanah.

Dr Mohamad Khir menafikannya dengan memberi alasan tidak tahu-menahu dengan kehadiran kumpulan petugas media yang menunggunya sejak dari jam 8 pagi.

"Saya tidak tahu ada wartawan tunggu. Kalau tidak, tentu saya buat sidang media di situ. Lagi pun, saya tidak berapa sihat. Saya demam," katanya, yang kini dilantik ketua pemikir Umno negeri dalam badan perhubungan parti itu.

"Jadi, saya parkir tempat paling dekat dengan lif di tingkat bawah tanahlah."

Ditanya sama ada beliau akan dipanggil semula bagi melengkapkan siasatan kes itu, Dr Mohd Khir berkata beliau tidak tahu.

Beliau juga menggesa pemimpin Pakatan di Selangor – antaranya Menteri Besar, Tan Sri Khalid Ibrahim dan exco kerajaan tempatan Ronnie Liu – agar tidak mencari pelbagai alasan daripada memberikan kerjasama kepada suruhanjaya itu.

"Kalau saya boleh pergi, kenapa (pemimpin) Pakatan tidak boleh? SPRM sentiasa profesional. Khalid, Ronnie Liu pun bila dipanggil, kena pergi. Jangan beri alasan.

"Kalau tidak salah, hendak takut apa?" kata Dr Mohamad Khir.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

ADS