Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Pemuda: MIC biadap kecam Dr Mahathir
Diterbitkan:  Sep 14, 2009 1:46 PM
Dikemaskini: Sep 15, 2009 4:38 AM

kemaskini 5.17pm Tindakan perwakilan MIC mengkritik Tun Dr Mahathir Mohamad, termasuk cadangan mengalungkan gambar bekas perdana menteri itu dengan kalungan selipar, dibidas oleh pemimpin Umno yang menganggap ia sebagai melampau dan biadap.

Naib Ketua Pemuda Umno Datuk Razali Ibrahim berkata tindak-tanduk seumpama itu bukan budaya BN dan MIC perlu bertanggungjawab untuk mengambil tindakan.

“Tindakan perlu dikenakan oleh BN jika pimpinan MIC membiarkan perkara itu berlalu begitu sahaja. Ia mesti diambil demi menjaga kerukunan dalam BN,” katanya dalam satu kenyataan di Kuala Lumpur hari ini.

Beberapa akhbar hari ini melaporkan bahawa Dr Mahathir telah dikritik para perwakilan MIC pada perhimpunan itu kerana dikatakan mencampuri urusan dalaman MIC serta menjatuhkan maruah presiden parti itu Datuk Seri S Samy Vellu.

Razali, yang juga timbalan menteri belia dan sukan, berkata pergerakan itu berpandangan bahawa "tindak tanduk sebegini tidak membantu mengalihkan pandangan masyarakat kepada kedudukan MIC yang sebenarnya. Rasa hormat perlu diraih dan

bukan boleh diminta-minta."

“Mereka (MIC) kena cari jalan menonjolkan perancangan dan kerja yang baik, bukan dengan menyalahkan orang lain apatah lagi menghina pemimpin besar negara,” katanya.

Di Alor Setar, Umno Kedah turut melahirkan kekesalan dengan sikap perwakilan MIC dan menganggap tindakan itu tidak wajar dan tidak patut dicadangkan oleh anggota parti komponen BN.

Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan Umno negeri itu, Datuk Paduka Ahmad Bashah Md Hanipah berkata walaupun Dr Mahathir dikatakan mencampuri MIC dengan kenyataannya, masih banyak lagi cara atau saluran untuk menyampaikan rasa tidak puas hati mereka.

"Cadangan itu menggambarkan kaum India di negara ini tidak menghargai jasa dan sumbangan Dr Mahathir terhadap masyarakat mereka. Ini menunjukan pemikiran mereka sangat cetek.

"Sehubungan itu, Umno Kedah mahu presiden MIC memohon maaf secara terbuka kepada Dr Mahathir," katanya.

Di Melaka, veteran Umno Tan Sri Abdul Aziz Tapa berkata kecaman yang begitu teruk oleh perwakilan MIC terhadap Dr Mahathir pada perhimpunan Agung parti itu di Kuala Lumpur semalam tidak pernah berlaku sebelum ini.

"Amat tidak patut usul seperti ini, nampaknya mereka sudah tenggelam punca, hilang pertimbangan apabila kena tegur," katanya kepada Bernama hari ini.

Abdul Aziz berkata sebagai anggota parti dalam BN, perwakilan MIC terbabit tidak sepatutnya mencadangkan usul berkenaan terhadap Dr Mahathir yang juga merupakan bekas pengerusi BN.

"Dulu mereka boleh tegur tetapi sekarang sudah tidak boleh tegur, sepatutnya sebagai pemimpin parti dalam komponen BN mereka lebih rasional," katanya.

Beliau berkata Samy Vellu wajar menemui dan meminta maaf daripada Dr Mahathir berikutan insiden itu. BERNAMA


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

ADS