Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita

Tun Dr Mahathir Mohamad tidak merujuk sama sekali ulasannya tentang Datuk Seri S Samy Vellu dan musuh politiknya Datuk S Subramaniam kepada pemilihan agung MIC yang berlangsung esok.

Semalam akhbar Tamil Makkal Osai melaporkan kritikan mantan perdana menteri itu terhadap Samy Vellu sebagai presiden MIC yang menyebabkan ketewasan teruk dalam pilihan raya umum lalu dan bekas timbalannya itu – yang bertanding jawatan itu sekali – seorang pemimpin yang baik.

"Saya tidak rujuk pada pemilihan. Saya kata, kelemahan MIC terletak pada Samy Vellu. Saya dengar ramai orang India kata tidak mahu sokong MIC, pasal Samy Vellu," katanya di Petaling Jaya petang ini.

mahathir at bum 2009 bloggers conference talking about sex and old age 290509 01 Dr Mahathir diminta mengulas pertembungan terbukanya dengan Samy Vellu - yang membidas semula kritikannya hari ini, sebagai merestui kumpulan pemimpin MIC yang menentang barisan pemimpin yang direstuinya (Samy Vellu) esok.

Dalam wawancaranya dengan Malaysiakini hari ini, bekas menteri kerja raya itu berkata, Dr Mahathir sendiri seorang pakar dalam seni "memusnahkan timbalannya" sendiri.

Ditemui selepas berbuka puasa hari ini, bekas presiden Umno itu berkata, masyarakat India tidak lagi menyokong MIC kerana bosan dengan kepimpinan Samy yang mahu menguasai parti itu – beliau menguasai parti ketiga terbesar dalam BN selama 29 tahun.

"Sekarang orang India sudah terbahagi kepada lapan parti. Kalau dulu semuanya sokong MIC, sekarang ini, tidak ramai yang sokong MIC. Dan mereka beri alasan yang sama, iaitu mereka dah bosan dengan Samy Vellu yang hendak kuasai MIC,” jelas Dr Mahathir.

"Sampai tidak ada siapa boleh ambil alih daripada beliau. Siapa jadi timbalan beliau, lama sikit, nampak orang itu popular, beliau cantaslah."

Ditanya sama ada Subramaniam terdesak mendapatkan sokongannya untuk menang semula jawatan nombor dua MIC, Dr Mahathir berkata:

"Beliau bukan mendapat sokongan saya. Saya bercakap dengan Makkal Osai, saya jawab itu."

Beliau menambah, sebelum pilihanraya umum tahun lepas, ramalannya bahawa MIC akan tewas sekiranya Samy Vellu terus memimpinnya telah menjadi kenyataan.

Dr Mahathir juga mendakwa bekas anggota kabinetnya itu pernah berbohong kepadanya berhubung kenyataan bahawa mantan pengerusi BN itu tidak pernah menolong kaum India.

"Tentang beliau kata saya tidak pernah tolong orang India, dulu sekali beliau berkata pada akhbar.

“Lepas itu, semasa (saya) di Syria, beliau telefon saya, kata beliau tidak pernah berkata (demikian). (Samy Vellu beritahunya) itu semua laporan tidak benar.

"Apabila saya balik sini, akhbar itu tunjuk rakaman, beliau benar-benar berkata saya tidak pernah menolong orang India. (Kenyataan Samy Vellu) itu tidak benarlah. Saya tolong semua kaum, bukan orang Melayu saja," jelas Dr Mahathir panjang lebar.

Tambahnya, jika pergolakan dua parti komponen terbesar BN iaitu MIC dan MCA tidak ditangani dengan berhati-hati, BN akan tewas dalam pilihan raya umum yang akan datang.

MCA kini bergelut menghadapi krisis dalaman susulan ketegangan presidennya Datuk Seri Ong Tee Keat dengan timbalannya yang dipecat Datuk Seri Dr Chua Soi Lek sehingga memaksa kemungkinan wujudnya dua mesyuarat agung luar biasa (EGM).


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

ADS