Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
2 pegawai TUDM maut, pesawat terhempas di lapangan terbang
Diterbitkan:  Sep 11, 2009 2:20 PM
Dikemaskini: 9:26 AM

kemaskini 5.25pm Dua juruterbang Tentera Udara Diraja Malaysia terbunuh apabila sebuah pesawat ringan yang dinaiki mereka terhempas ketika cuba mendarat di landasan Lapangan Terbang Antarabangsa Langkawi tengah hari tadi.

Mereka dikenali sebagai Mejar Mohd Rozaini Mohd Mustafa, 37, dan Mejar Mohd Zulkifli Hasan, 38.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Persiaran Putera di Langkawi, Yaakob Hassan berkata pesawat ringan itu dipercayai jenis Pilatus PC-7 milik TUDM.

"Maklumat tidak rasmi yang saya tahu, pesawat itu dipercayai dari Alor Setar dan terhempas kira-kira 90 meter dari landasan sebelum terbakar," katanya kepada Bernama.

Bomba, yang menerima panggilan pada pukul 12.32 tengah hari, menghantar 18 anggota ke tempat kejadian.

Yaakob berkata sebaik tiba di lokasi api telah padam.

"Mayat dikeluarkan dari kawasan lapangan terbang pada pukul 1.20 tengah hari dan dihantar ke Hospital Langkawi," katanya.

Seorang penduduk berkata beliau terdengar bunyi letupan kuat sebelum mendapati sebuah pesawat terhempas di di landasan lapangan terbang tersebut.

"Waktu itu saya tengah buat kerja di rumah saya yang terletak kira-kira 200 meter dari pagar lapangan terbang berkenaan. Saya ingat bunyi mercun, tetapi bunyinya kuat sangat.

"Apabila saya pergi lihat, saya nampak sebuah kapal terbang sudah terjatuh serta sedang terbakar.

"Kakitangan lapangan terbang sedang sibuk memadam api," katanya Zawawai Shaupi, 38, kepada Bernama .

Katanya, beliau juga dapat melihat dua mayat mangsa pesawat terhempas itu diusung dan dibawa keluar dari kawasan lapangan terbang.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

ADS