Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Susilo: 'Sapu bersih rakyat M'sia' tindakan kekerasan
Diterbitkan:  Sep 11, 2009 10:43 AM
Dikemaskini: 12:42 PM

Presiden Indonesia Susilo Bambang Yudhoyono mengingatkan rakyatnya bahawa tindakan kekerasan 'menyapu bersih' rakyat Malaysia tidak akan menyelesaikan masalah, malah sebaliknya akan menimbulkan masalah baru.

Beliau berkata terdapat 1.8 juta rakyat Indonesia yang sedang mencari rezeki dan belajar di Malaysia, yang pasti akan berada dalam kebimbangan sekarang berikutan reaksi berlebihan segelintir rakyat Indonesia menimbulkan sengketa budaya dengan Malaysia.

NONE "Saya menerima SMS dari saudara-saudara kita yang bekerja di Malaysia antara lain bunyinya, 'Pak Presiden tolong masalah yang terjadi dengan Malaysia diselesaikan secara bijak dan arif'," katanya seperti dipetik sebuah laman web berita tempatan semalam.

Sementara itu, selepas mempengerusikan mesyuarat Kabinetnya, seperti tersiar dalam laman webnya, Susilo berkata 'sweeping' ke atas rakyat Malaysia adalah tindakan kekerasan dan bertentangan dengan undang-undang, apatah lagi ketika umat Islam, baik rakyat Malaysia mahupun rakyat Indonesia sedang menunaikan ibadah puasa.

Beliau mengulas tindakan segelintir rakyat Indonesia yang menggelar diri mereka Benteng Demokrasi Rakyat (Bendera) melakukan 'sweeping' ke atas rakyat Malaysia di Jakarta dengan keluar ke jalan membawa buluh runcing dan memeriksa tanda pengenalan orang ramai yang melalui Jalan Diponegoro untuk mencari rakyat Malaysia.

Semalam, Malaysia menyuarakan kebimbangan terhadap keselamatan rakyatnya di Indonesia termasuk kira-kira 5,600 pelajar perubatan, kedoktoran dan pergigian di samping ribuan profesional yang bekerja di republik itu, yang terdedah kepada ancaman golongan itu yang menggunakan slogan 'ganyang Malaysia' dan mengakui mempunyai

ilmu kebal.

Pada masa yang sama, kerajaan Malaysia memberi jaminan akan memastikan keselamatan rakyat Indonesia yang berada di Malaysia dan menjamin rakyat Malaysia tidak akan bertindak balas terhadap tindakan keras yang dilakukan di Jakarta seperti membakar bendera Malaysia dan membaling telur busuk ke kedutaan Malaysia.

Perlu diketahui bahawa banyak rakyat Indonesia sendiri, yang dipantau melalui ulasan-ulasan online, turut mengutuk dan mengecam keras ancaman oleh kelompok Bendera itu, yang mereka anggap tidak berakal, cuba mengganggu hubungan dua hala dan didalangi golongan tertentu yang berkepentingan melihat dua negara serumpun

berseteru.

Susilo menegaskan bahawa pemerintah Indonesia sudah mengambil langkah mengatasi masalah yang timbul seperti tuduhan Malaysia mencuri tarian Pendet yang berasal dari Bali dan mempromosi Pulau Jemur di Riau, melalui saluran diplomatik dan Kumpulan Tokoh Terkemuka (EPG) kedua-dua negara.

"Sebagai negara tetangga dekat dan sebagai bangsa satu rumpun, memang kerap ada masalah-masalah yang terjadi di antara kita dengan Malaysia, tetapi hubungan baik harus tetap terjaga," katanya dalam laman web presiden.

Susilo berkata masalah lazimnya wujud dari semasa ke semasa, bahkan telah berlaku sejak sekian lama dalam sejarah bangsa serumpun kerana Indonesia dan Malaysia bukan saja dekat malah sentiasa berinteraksi berbanding dengan negara-negara di benua lain yang jarang bertemu dan berinteraksi sehingga tidak terjadi masalah.

"Justeru kalau kita dengan negara di Eropah Barat atau Amerika Latin atau selatan Afrika, tidak pernah ada masalah yang mengganggu kerana jarang bertemu, jarang berinteraksi. Tetapi bangsa Indonesia dengan Malaysia itu sudah terjadi sejak dahulu kala, bahkan sebelum kedua-dua negara ini menjadi negara yang merdeka dan berdaulat," katanya.

Punca ketegangan terbaru ini ialah tuduhan kononnya Malaysia mencuri tarian Pendet untuk promosi pelancongannya, yang kemudiannya terbukti tidak benar kerana klip video promosi itu dibuat oleh syarikat swasta berpejabat di Singapura yang tidak mempunyai sebarang kaitan dengan kerajaan Malaysia.

Semalam beberapa cendekiawan tempatan menggesa media massa tempatan lebih berhati-hati dalam melemparkan tuduhan, dan penulisan serta penyiaran hendaklah berdasarkan fakta yang sudah dipastikan tepat, betul dan benar.

Duta Besar Indonesia di Malaysia Da'i Bahtiar malah mengakui malu kerana semua tuduhan yang diapi-apikan oleh media massa yang telah membakar semangat segelintir rakyat untuk bertindak membenci Malaysia akhirnya terbukti salah dan tidak berasas.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

ADS