PAS bercadang mengadakan perbincangan dengan gabungan NGO wanita mengenai pelbagai isu agama dan gender, termasuk kontroversi hukuman sebat terhadap Kartika Sari Dewi Shukarno.
Ketua Pemuda PAS Nasrudin Hassan berkata, inisiatif itu diambil susulan beberapa siri dialog dengan kumpulan terbabit, khususnya Sisters In Islam (SIS) sebelum ini yang gagal mencapai penyelesaian.
"Dialog dulu tidak menemukan penyelesaian. Kemungkinan sebab sekali atau dua kali sahaja (berdialog).
"Di masa akan datang, kita ada lihat keadaan yang sesuai untuk menganjurkan dialog atau seminar. Kemungkinannya selepas Hari Raya," katanya.
Nasrudin diminta mengulas pendekatan PAS bagi mendekati Kumpulan Bertindak Menentang Keganasan Terhadap Wanita (JAG) yang mendesak kerajaan memansuhkan satu hukuman bawah enakmen jenayah syariah itu.
JAG dalam memorandum bertarikh 25 Ogos juga menggesa perdana menteri segera menilai semula hukuman sebat kerana didakwa melanggar prinsip hak asasi manusia di peringkat antarabangsa.
Nasrudin semalam menyifatkan desakan JAG, ekoran kontroversi hukuman sebat terhadap model sambilan itu, sebagai menceroboh bidang kuasa pelaksanaan enakmen jenayah syariah dan "biadap".
Dihubungi Malaysiakini hari ini, Nasrudin berkata, pertemuan dengan SIS – yang turut bergabung dalam JAG – dibuat ketika PAS memerintah Terengganu antara 1999 hingga 2004 bagi membincangkan pelaksanaan enakmen hudud.
Katanya, pertemuan sebegitu sebelum ini "gagal menemukan penyelesaian" kerana pelbagai pihak mempunyai pandangan tersendiri yang diyakini.
"Bila timbul isu, kita akan ambil tindakan berdasarkan keyakinan (terhadap kefahaman) masing-masing. Kita tidak fikirkan soal pandangan orang lain.
"Jika timbul konfontasi selepas itu, kita akan selesai selepas itu. Di masa akan datang, kita akan anjur (pertemuan)," kata ketua dewan itu.
Ditanya kenapa sukar mencari pemahaman antara NGO terbabit dengan PAS, Nasrudin berkata:
"Kebanyakan mereka (NGO wanita) menilai nilai Islam dengan perspektif yang berbeza, lihat pandangan ulama terpencil. Atau mereka ini ambil kira soal rasionaliti, logik akal semata-mata."