Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Kes kepala lembu: 12 dihadap ke mahkamah
Diterbitkan:  Sep 9, 2009 9:52 AM
Dikemaskini: Sep 10, 2009 6:08 AM

Dua belas orang ke mahkamah hari ini berhubung insiden perarakan kepala lembu ketika mengadakan protes di sekretariat kerajan negeri (SUK) Selangor pada 28 Ogos lalu.

Enam daripada mereka menghadapi dua tuduhan - menghasut dan menyertai perhimpunan haram. Manakala enam lagi didakwa menyertai perhimpunan haram.

Enam yang menghadapi tuduhan menghasut itu dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Shah Alam.

NONE Mereka didakwa mengikut Seksyen 4(1) Akta Hasutan atau tuduhan alternatif di bawah Seksyen 298 Kanun Keseksaan kerana "menimbulkan rasa tidak puas hati dan permusuhan penganut Hindu dan senjaga lukakan perasaan penganut Hindu".

Mereka ialah Ibrahim Sabri, 42; Ahmad Mahayuddin Abd Manaf, 36; Eyzva Ezhar Ramly, 35; Mohd Azmir Mohd Zain, 35; Ahmad Suhairy Zakaria, 39; Mohd Hilmi Ni, 40.

Ibrahim dan Ahmad Mahayuddin didakwa memijak kepala lembu; Ayzva didakwa membawa kepala lembu; manakala Mohd Amir, Ahmad Suhairy dan Mohd Hilmi, didakwa membawa dan memijak kepala lembu.

Ahmad Mahayuddin dan Ibrahim masing-masing merupakan pengerusi dan pengerusi dan timbalan pengerusi jawatankuasa bertindak penduduk Seksyen 23.

Mereka tidak mengaku bersalah dan minta dibicarakan.

Mereka dituduh melakukan kesalahan tersebut pada kira-kira jam 2.25 petang 28 Ogos, dan ereka berdepan dengan hukuman penjara sehingga tiga tahun dan/atau didenda sehingga RM5,000 atau kedua-dua sekali jika sabit kesalahan, mengikut Seksyen 4(1) Akta Hasutan 1948.

Sebelum itu, Timbalan pendakwaraya Mohd Dusuki Mokhtar memohon supaya mahkamah menetapkan ikatjamin RM15,000 tiap seorang, manakala peguam mereka Salehuddin Saidin dan Afifudin Ahmad Hafifi meminta ia dikurangkan kepada masing-masing RM500.

Salehuddin berkata jumlah yang diminta oleh pihak pendakwa itu terlalu tinggi dan akan membebankan semua tertuduh.

Beliau juga berkata pelanggannya telah memberi kerjasama kepada pihak polis dan mereka juga tidak berniat untuk melukakan perasaan penganut agama lain.

Hakim Hasbi Hasan kemudiannya menetapkan ikatjamin masing-masing RM4,000 dengan seorang penjamin. Beliau juga menetapkan kes itu disebut pada 21 Oktober.

Selepas itu, mereka bersama enam yang lain dihadapkan di Mahkamah Majistret Shah Alam atas tuduhan menyertai perhimpunan haram mengikut Seksyen 27(5)(a) Akta Polis 1967.

Kesemuanya tidak mengaku bersalah dan minta dibicarakan.

Hakim Norkamilah Aziz membenarkan ikatjamin masing-masing RM300 dengan seorang penjamin bagi enam orang yang turut menghadapi tuduhan menghasut.

Manakala ikatjamin bagi enam orang lagi yang menghadapi tuduhan perhimpunan haram, ditetapkan masing-masing sebanyak RM300 dengan seorang penjamin.

Kes tersebut akan disebut pada 21 Oktober.

NONE Mereka ialah Jainudin @ Zainudin Md Yusuff, 67; Mohd Jurit Ramli, 39; Mohammad Nordin Zakaria, 63; Jamil Mohamad Isa, 40; Rahimuddin Md Harun, 39, dan Azhari Shaari, 39.

Mereka berdepan dengan hukuman denda antara RM2,000 dan RM10,000 atau setahun penjara, jika sabit kesalahan.

Dua belas orang yang didakwa hari ini adalah sebahagian daripada mereka yang menyertai protes tersebut kerana membantah keputusan kerajaan Selangor untuk memindahkan kuil berusia 150 tahun, dari Seksyen 19 ke Seksyen 23.

Sebelum itu, kira-kira 50 penduduk datang ke Mahkamah Shah Alam pagi ini sebagai tanda sokongan kepada 12 orang yang akan didakwa berhubung isu perarakan kepala lembu membantah pembinaan kuil Hindu di Seksyen 23.

Mereka berhimpun di kaki lima, menunggu sesi mahkamah bermula.

Mereka memberitahu media "kami tidak bersalah" dan "kami datang dengan satu hati".

ADS