Mahkamah Tinggi di sini memerintahkan Peguam Negara menjawab afidavit balasan yang difailkan kerajaan Selangor berhubung permohonannya (Peguam Negara) bagi mengisytiharkan pekeliling yang mengarahkan pegawai dan kakitangan kerajaan negeri membantu siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) pada waktu pejabat dengan kehadiran peguam, sebagai tidak
sah dan terbatal.
Timbalan Pendaftar Mohd Hafizi Abdul Halim ketika mengeluarkan arahan itu di dalam kamarnya juga memerintahkan Peguam Negara menjawab permohonan yang difailkan Kerajaan Selangor pada Jumaat lepas bagi membatalkan saman pemulanya itu.
Mahkamah turut menetapkan 15 Sept ini untuk sebutan semula kes.
Peguam Kanan Persekutuan See Mee Chun hadir mewakili pihak plaintif, sementara pihak defendan diwakili peguam Yusmadi Yusoff.
Pada 20 Ogos lepas, Peguam Negara Tan Sri Abdul Gani Patail memfailkan saman pemula di Pejabat Pendaftar Mahkamah Tinggi di sini, bagi memohon satu perintah deklarasi bahawa pekeliling berkenaan yang dikeluarkan Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor Datuk Ramli Mahmud bertarikh 28 Julai lepas, sebagai tidak sah dan terbatal.
Selain Kerajaan Negeri Selangor, Abdul Gani selaku plaintif, turut menamakan setiausaha kerajaan negeri itu sebagai defendan.
Dalam afidavit sokongannya, Abdul Gani antara lain menegaskan pekeliling itu adalah tidak sah dan terbatal kerana ia bertentangan dengan Seksyen 30 (1)(a) dan Seksyen 30 (3)(a) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 (Akta 694).
Abdul Gani berkata memandangkan pekeliling itu adalah satu arahan pentadbiran, ia mengikat semua pegawai dan kakitangan kerajaan Selangor dan sekiranya pekeliling itu tidak dipatuhi, ia boleh dijadikan alasan untuk tindakan tatatertib terhadap pegawai dan kakitangan kerajaan negeri.
Seterusnya pada Jumaat lepas, kerajaan Selangor memfailkan permohonan bagi membatalkan saman pemula yang difailkan Peguam Negara itu.
Afidavit sokongan yang bertujuan menentang permohonan Peguam Negara dan menyokong permohonan kerajaan negeri Selangor turut difailkan pada hari yang sama.
Dalam permohonan itu, kerajaan Selangor antara lain mendakwa Peguam Negara tiada locus standi untuk memulakan prosiding itu dan pihak yang sewajarnya ialah SPRM kerana suruhanjaya itu adalah pihak yang terjejas secara langsung dengan pekeliling tersebut.
Kerajaan negeri juga mendakwa cara yang digunakan untuk memulakan prosiding itu sepatutnya adalah melalui Writ Saman dan bukan melalui Saman Pemula kerana terdapat banyak isu dan fakta yang dipertikaikan yang mana hanya boleh diputuskan dalam perbicaraan melalui pemeriksaan balas saksi-saksi.
Afidavit setebal 55 muka surat yang diikrarkan Menteri Besar Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim itu antara lain menyatakan bahawa pekeliling bertarikh 28 Julai 2009 telah dikeluarkan setelah mendapat nasihat daripada Penasihat Undang-undang Negeri Datin Paduka Zauyah Be T Loth Khan dan dikeluarkan dengan tujuan untuk membantu penyiasatan yang dijalankan oleh SPRM dan bukan
sebaliknya.
Afidavit itu juga menyatakan pekeliling tersebut hanya menjadi perlu dan terpaksa dikeluarkan kerana pegawai dan kakitangan kerajaan negeri telah secara berterusan dikacau ganggu dan dipanggil dengan tidak semena-mena oleh SPRM dan dituntut oleh SPRM untuk menyerahkan pelbagai dokumen, yang mana akhirnya mengakibatkan kematian mengejut salah seorang kakitangan kerajaan negeri Selangor iaitu Teoh Beng Hock. BERNAMA