Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Bekas menteri besar Negeri Sembilan, Tan Sri Isa Samad berkata beliau perlu mendapatkan pandangan semua pihak berhubung cadangan memilihnya sebagai calon BN dalam pilihanraya kecil DUN Bagan Pinang.

"Saya tidak dapat menjawab. Kena bincang dulu, tengok keadaan dan pandangan sayap-sayap, akar umbi dan mungkin ada calon-calon lain.

NONE "Kemudian rumus untuk dapatkan keputusan," katanya ketika dihubungi Malaysiakini pagi ini.

Sebelum ini, Ketua Pemuda Umno bahagian Teluk Kemang, Mohd Faizal Ramli berkata rata-rata pemimpin Umno di bahagian tersebut umumnya ingin Isa bertanding dalam pilihanraya kecil tersebut.

Mohd Faizal berkata Isa, yang mengetuai bahagian tersebut masih dihormati dan "rakyat masih menaruh keyakinan tinggi terhadap kemampuan beliau."

Kerusi DUN itu kosong ekoran kematian penyandangnya Azman Mohammad Noor pada Jumaat lalu akibat jangkitan dalam darah.

Pada pilihan raya umum tahun lepas, allahyarham yang mewakili BN menang dengan majoriti 2,333 undi, menewaskan calon PAS Ramli Ismail yang memperolehi 4,097 undi.

Mengulas lanjut berhubung calon yang akan bertanding, Isa berkata bahagian tersebut akan mengadakan mesyuarat, Khamis ini, antara lain membincangkan pandangan akar umbi mengenai calon serta persiapan jentera pilihanraya BN di DUN tersebut.

Isa berkata, jentera BN di semua peringkat dan sayap-sayap di semua peringkat sedang membuat persiapan termasuk menyusun program untuk menghadapi pilihan raya kecil tersebut.

"Persediaan sedang buat, jentera kita tidak ada masalah. Jentera pilihan raya umum yang lalu, kita panggil balik," katanya.

Suruhanjaya Pilihanraya Malaysia (SPR) akan bermesyuarat Isnin ini bagi menentukan tarikh pilihan raya susulan kekosongan kerusi tersebut.

Sementara itu, ahli jawatankuasa bahagian Kamil Abdul Aziz berkata pemimpin Umno di Teluk Kemang menyokong penuh supaya bekas naib presiden Umno itu menjadi calon di Bagan Pinang.

"Pemimpin Umno di Teluk Kemang, teguh sokongannya terhadap beliau untuk menjadi calon.

"Memang beliau orang lama. Beliau ada kekuatan dan pengaruh di situ. Hubungan beliau dengan masyarakat, baik. Bagan Pinang itu kampungnya," katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

ADS