Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

eksklusif kemaskini 7.32pm Majlis Permuafakatan Ummah (Pewaris) menafikan kawasan lapang yang dimajukan di sebelah kuil di Seksyen 19 Shah Alam punca kesesakan lalulintas seperti yang didakwa pengurusan kuil Sri Maha Mariamman.

NONE Jurucakap gabungan NGO Melayu itu berkata isu kesesakan tidak timbul kerana penganut Hindu yang datang beribadat di situ masih boleh meletakkan kenderaan di jalan-jalan sekitar kejiranan tersebut.

Datuk Nadzim Johan memberitahu Malaysiakini hari ini, Pewaris bertanggungjawab memagar sebahagian daripada tanah yang terletak bersebelahan dengan kuil lama yang ingin dipindahkan ke Seksyen 23 Shah Alam – yang mencetuskan kontroversi baru-baru ini – untuk kegunaan riadah dan aktiviti penduduk sekitar.

"Bila kita dah pagar, mereka masih boleh letak kereta di jalan-jalan," katanya, yang juga setiausaha kerja Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), satu anggota gabungan Pewaris.

Tambahnya, walaupun tidak diberi kuasa, mereka berhak membenarkan tanah berkenaan digunakan untuk aktiviti penduduk di kawasan tersebut kerana kuil di situ juga menduduki tapak berkenaan tanpa kebenaran.

"Tanah ini kita serahkan kepada penduduk di kawasan ini untuk mereka buat aktiviti riadah, perjumpaan atau kenduri," kata Nadzim.

"Tanah itu memang milik Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS), kita cuma pinjam tanah itu untuk kegunaan penduduk. Kuil itupun pinjam tanah PKNS."

NONE Tinjauan Malaysiakini ke tapak kuil berkenaan baru-baru ini mendapati sekeping tanah yang terletak bersebelahan kuil tersebut telah dipagar dengan kepingan zink.

Satu papan tanda di luar kawasan berpagar itu menyatakan bahawa tanah tersebut dirasmikan sebagai "Tapak Gelanggang Pewaris" pada awal tahun ini.

"Kita juga tidak mahu nanti ia besarkan lagi kuil itu di sini, sebab itu kita pagar," katanya ketika dihubungi.

Pengurusan kuil Sri Maha Mariamman itu pula mendakwa, kesesakan timbul apabila tapak letak kereta bagi kuil itu ini telah dipagar oleh Pewaris , sejak awal tahun ini, kerana penganutnya terpaksa meletakkan kenderaan di tepi-tepi jalan di seksyen berkenaan.

Sementara itu, pembinaan tapak gelanggang Majlis Permuafakatan Ummah (Pewaris) di sebelah kuil di Seksyen 19 Shah Alam satu "tindakan provokasi" terhadap penganut Hindu, kata ahli parlimen Shah Alam.

NONE Khalid Samad – yang bergegas ke kawasan berkenaan sewaktu gabungan NGO Melayu itu sedang membuka tapak dua hari sebelum perasmiannya 10 Januari lalu – berkata, usaha membuka tapak berkenaan hanyalah satu "helah".

"Amat jelas, soal gelanggang silat dan sebagainya hanya satu helah. Sebenarnya mereka mahu memprovokasi pihak kuil berkenaan," katanya di blog peribadinya (www.khalidsamad.com).

Jelasnya, beliau dimaklumkan pada 8 Januari lalu bahawa terdapat sekumpulan orang dari luar seksyen tersebut ingin “menimbulkan ketegangan” di kuil tersebut, termasuk mengadakan kenduri dengan jamuan daging lembu kepada orang berdekatan kuil berkenaan.

"Mereka ingin membina ‘gelanggang silat’ di tepi kuil dan akan mengadakan kenduri untuk merasmikan pembukaan gelanggang tersebut pada Sabtu 10 haribulan (Januari) ini.

NONE "Untuk kenduri itu mereka akan tumbangkan dua ekor lembu! Seterusnya mereka akan menjamu penduduk dan orang ramai di depan kuil berkenaan,” tulisnya lagi.

Khalid, yang melabelkan penyokong Umno sebagai dalang membantah pemindahan kuil tersebut ke Seksyen 23 Shah Alam yang menjadi kontroversi besar, berkata bahawa Pewaris membuka kawasan itu tanpa kebenaran rasmi pihak berkuasa tempatan.

"Gelanggang mereka akan dibina tanpa membuat apa-apa permohonan kepada pihak berkuasa kerana kata mereka, kuil tersebut juga tidak mendapat kebenaran!" tulisnya, yang juga pemimpin PAS Shah Alam.

Dalam artikel di blognya itu, Khalid turut merekodkan pertengkaran dengan beberapa orang yang hadir pada majlis anjuran Pewaris di situ apabila beliau dicabar kerana didakwa cuba "membela" kuil berkenaan.

"Dia mencabar saya sebaik sahaja kita sampai di Seksyen 19, 'awak orang Melayu, orang Islam, kenapa awak sibuk sangat nak membela kuil ini'?

NONE "Saya jawab, 'kerana Islam mengajar saya supaya bertindak adil terhadap semua manusia. Mereka, walaupun bukan Islam, ada hak dan Islam menuntut kita menghormati hak mereka',” katanya.

"Saya menambah lagi, 'kita marah bila Israel mengasari umat Islam di Gaza, jangan kita pula mengikut perangai Israel'."

Satu kumpulan foto majlis perasmian tapak berkenaan pada 10 Januari lepas yang dirakamkan seorang jurugambar bebas menunjukkan, antara lain, aktiviti meratakan tanah di sebelah kuil (foto paling atas) , persembahan silat, ucapan daripada beberapa individu dan sejumlah hadirin (dua foto bawah) .

Gambar-gambar milik jurugambar yang dikenali dengan nama Minaq Jinggo itu dimuatkan ke laman perkongsian imej fotopages.

Foto-foto dalam set berkenaan turut menujukkan majlis pelancaran satu kempen boikot produk alkohol dan barangan Israel, manakala kain-kain rentang yang dipaparkan antaranya ditulis: "Hak kami diabaikan, hak orang lain dijunjung", "Kekalkan ISA, laksanakan hudud" dan "Jangan jadi pelacur politik kerana nakkan kuasa."

ADS