Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Fahami Quran pacu utuhkan bangsa
Diterbitkan:  Sep 7, 2009 3:34 PM
Dikemaskini: 8:15 AM

Datuk Seri Najib Tun Razak berkata pemahaman yang jelas mengenai inti pati Al-Quran penting dalam membantu usaha kerajaan

membina sebuah negara bangsa yang utuh dan disegani melalui gagasan 1Malaysia.

Perdana menteri berkata dengan pemahaman yang betul itu ia dapat memacu peradaban dan memartabatkan tamadun bangsa seterusnya membersihkan persepsi negatif Barat terhadap Islam.

NONE "Al-Quran diturunkan di antaranya bertujuan memperbaiki keadaan manusia dan juga sebagai petunjuk ke jalan lurus yang diredainya. Melalui pemahaman yang betul, Al-Quran mampu memperkasa sesebuah bangsa dan negara," katanya pada pelancaran e-Qalam, pen digital Al-Quran dan portal pemasarannya melalui laman web.

Produk yang dikeluarkan dalam empat pilihan bahasa terjemahan iaitu bahasa Malaysia, Inggeris, Indonesia dan Mandarin adalah keluaran hasil usaha sama syarikat bumiputera Iqra' Pintar Sdn Bhd dengan Dawama Sdn Bhd.

Najib juga yakin kelahiran e-Qalam bukan untuk menggantikan sistem pembelajaran dan pemahaman Al-Quran sedia ada, jauh sekali menggantikan tempat para ustaz dalam pengajaran.

"Sebaliknya ia dapat membantu mengalakkan orang ramai membaca dan memahami apa yang dibacanya menerusi terjemahan yang disediakan, seterusnya menjadi pelengkap terhadap sistem Al-Quran itu sendiri," katanya.

Menurut Najib, e-Qalam juga adalah satu inovasi baru dalam teknologi pendidikan dan ia berpotensi dikembangkan penggunaannya ke bahan bacaan lain dan ia juga berpotensi diketengahkan sebagai sebuah produk bersifat global serta mampu untuk diteroka ke peringkat antarabangsa dengan lebih meluas.

Najib berharap agar produk itu dapat menjadi alternatif dan mampu menjadi sumber rujukan kepada mereka yang sentiasa mencari bahan rujukan sebagai bimbingan dalam usaha mendalami pengajian Al-Quran.

"Usaha sebegini diharap dapat menjadi pemangkin kepada syarikat bumiputera tempatan lain untuk bersaing secara sihat dalam arena antarabangsa melalui model baru pembangunan ekonomi dan berasaskan semangat 1Malaysia yang mengutamakan pencapaian," katanya.

E-Qalam dapat membantu membaca Al-Quran dengan betul menerusi pen digital yang boleh membaca Al-Quran berkod yang dialunkan imam Masjidil Haram Syeikh Saad Said Al-Ghamidi.

Dilengkapi dengan dua kaedah bacaan iaitu At-Tawadir (biasa) dan At-Tartil (perlahan), ia dijual dengan harga RM500.

Produk e-Qalam sudah dijual di beberapa buah negara termasuk Amerika Syarikat, Australia, Brunei, China, Taiwan dan United Kingdom. BERNAMA


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

ADS