Tindakan undang-undang akan diambil termasuk menamatkan perkhidmatan ketua kampung yang didapati terlibat membantu dan
mempermudahkan pendatang asing tanpa izin mendapatkan MyKad di Sabah.
Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan negeri Datuk Hajiji Noor berkata MyKad merupakan hak istimewa rakyat Malaysia dan tidak layak dimiliki pendatang tanpa izin.
"Kita tidak mahu pendatang tanpa izin memperoleh MyKad ini," katanya kepada pemberita selepas majlis berbuka puasa di sini semalam.
Hajiji berkata demikian ketika diminta mengulas dakwaan timbalan ketua PKR Sabah Datuk Kong Hong Ming minggu lepas mengenai wujudnya usaha mendaftarkan pendatang tanpa izin di Kampung Kalabakan Tengah, Tawau bagi mendapatkan MyKad seperti yang disiarkan akhbar tempatan baru-baru ini.
Kong, dalam kenyataannya mendakwa ramai pendatang tanpa izin dari negara jiran dibawa ke kampung terbabit menggunakan bas dan teksi untuk mendaftar dalam operasi yang didakwa dijalankan kakitangan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) Tawau dan Kota Kinabalu.
Hajiji berkata dakwaan itu akan disiasat dan jika dibuktikan benar mereka yang terlibat akan dikenakan tindakan. BERNAMA