Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata kerajaan negeri yang dikuasai pembangkang kini dilihat mula dipersoalkan satu persatu oleh rakyat yang ternyata semakin sangsi dengan kewibawaan mereka mentadbir.
Menurutnya, jika sebelum ini pembangkang dilihat amat mudah mempertikaikan kerajaan BN, kini mereka perlu sedar bahawa bukanlah mudah mentadbir seperti mana mudahnya mereka berjanji sesuatu kepada rakyat setiap kali menjelang pilihan raya umum.
"Sebenarnya bila mereka jadi pembangkang, amat mudah bagi mereka untuk mempertikaikan kerajaan BN, kononnya kita tidak berwibawa dan sebagainya.
"Hakikatnya bila kita (mereka) mentadbir, tidak semudahnya seperti mana sewaktu mereka lakarkan sewaktu mereka jadi pembangkang. Beberapa kes yang berlaku ini (ketika ini) adalah disebabkan janji mereka buat sebelum pilihan raya dan juga kegagalan mereka untuk membuat keputusan yang tepat dalam keadaan setempat dan ambil kira masyarakat berkenaan," katanya.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai majlis dialog bersama penduduk Seksyen 23 berhubung cadangan pemindahan kuil dari Seksyen 19 ke kawasan perumahan mereka yang berlangsung dalam suasana kecoh semalam.
Najib berkata apa yang berlaku itu jelas memperlihatkan kerajaan negeri yang dikuasai pembangkang menghadapi pelbagai masalah dan mereka gagal menangani sesuatu isu yang berlaku.
"Kewibawaan kerajaan pembangkang di negeri yang mereka kuasai sudah dipersoalkan rakyat sendiri.
"Bila mereka ada kuasa, mereka menghadapi begitu banyak masalah, sama ada masalah itu disebabkan mereka gagal menunaikan janji (pilihan raya umum lepas), (atau), masalah keputusan mereka tidak memenuhi jangkaan rakyat, atau masalah itu berbangkit kerana ketidaktepatan dan kecuaian membuat keputusan dalam sesuatu situasi," kata Najib.
Ditanya sama ada kerajaan pusat akan campurtangan atau membantu kerajaan negeri Selangor untuk menyelesaikan isu berkenaan, Najib berkata kerajaan pusat tidak dapat membantu kerana soal tapak baru kuil terbabit adalah bidang kuasa sepenuhnya kerajaan negeri.
Ditanya mengenai calon BN untuk pilihan raya kecil kawasan Dewan Undangan Negeri Bagan Pinang, Najib berkata perkara itu masih terlalu awal.
Beliau sekali lagi turut ditanya mengenai bonus kepada penjawat awam: "(Itu kena) tanya KSN (Ketua Setiausaha Negara)," katanya sambil ketawa.
Terdahulu, beliau melakukan ziarah ke beberapa buah rumah warga uzur dan tua di kampung Padang Jaya, Jaya Gading, Kampung Sri Damai, Kampung Bentan dan Kampung Pulau Serai, serta meninjau mangsa ribut di kampung Panchor, Pekan.
Mengulas mengenai lawatan ziarahnya itu, Najib berkata kaedah berkenaan merupakan amalannya sejak sekian lama sebagai anggota parlimen Pekan.
"Saya dapati cara ini sangat berkesan kerana saya dapat melihat keadaan itu sendiri, dan menemui penghuni rumah berkenaan yang memerlukan bantuan kerajaan mahupun Yayasan Taha," katanya.
- Bernama