Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Polis disyor rakam demo sebelum buat tangkapan
Diterbitkan:  Sep 6, 2009 3:44 PM
Dikemaskini: 7:48 AM

Presiden Gerakan Tan Sri Dr Koh Tsu Koon mengesyorkan polis supaya menggunakan kaedah merakam situasi sesuatu perhimpunan, demonstrasi atau tunjuk perasaan sebagai bukti sebelum bertindak menahan mana-mana individu yang terbabit.

Beliau berkata cadangan tersebut bagi mengelak tanggapan orang ramai mengenai sikap polis yang dilihat sebagai tidak adil dan berat sebelah serta mengambil tindakan menahan pihak tertentu sahaja.

"Polis mestilah konsisten dan adil kepada semua. Tidak sepatutnya memberi gambaran bahawa polis mengambil tindakan terhadap satu pihak dan tidak mengambil tindakan terhadap pihak yang lain.

"Kita mesti ada satu kaedah dan garis panduan yang dinampak oleh rakyat dan orang ramai sebagai adil dan konsisten," katanya kepada pemberita selepas merasmikan persidangan perwakilan parti Gerakan Selangor di Petaling Jaya hari ini.

Beliau berkata polis kemudian bolehlah bertindak melalui bukti yang didapati menerusi rakaman video yang dibuat seperti melakukan penahanan sekiranya didapati peserta demonstrasi atau tunjuk perasaan itu telah mencetuskan kekecohan.

"Jika demonstrasi secara aman, saya ingin mengesyorkan supaya polis jangan bertindak begitu cepat menahan mereka yang terlibat, sebaliknya nasihatkan supaya tidak meneruskan (demonstrasi) selepas mencapai matlamat mereka untuk kemukakan bantahan.

"Tapi kalau tunjuk perasaan itu telah mencetuskan kekacauan dan menunjukkan kekerasan atau keganasan, maka selepas merakamkannya polis boleh bertindak untuk

mencegah daripada insiden ini merebak. Ini termasuk juga sekiranya tunjuk perasaan itu menggunakan cara yang akan melukakan atau menghina perasaan orang lain yang berbabit dengan agama," katanya.

Beliau berkata demikian ekoran tindakan polis menahan 16 individu kerana mengadakan perhimpunan tanpa permit semalam selepas berarak dari pejabat Majlis Peguam ke Dataran Merdeka sambil membawa bunga ros dan beberapa kain rentang bagi memprotes perarakan kepala lembu di Shah Alam.

Polis masih belum menahan mana-mana individu yang terlibat dalam demonstrasi sambil membawa kepala lembu ke bangunan sekretariat kerajaan negeri (SUK) di Shah Alam baru-baru ini bagi membantah pembinaan kuil Hindu di Seksyen 23.

Sementara itu, Koh turut merayu semua pihak di Selangor supaya bertenang untuk membolehkan kerajaan negeri dan kerajaan tempatan menyelesaikan masalah berkaitan penubuhan kuil Hindu itu.

"Saya rayu kepada semua pihak untuk bertenang kerana implikasinya amat serius. Kita mesti kawal perasaan atas semangat muhibah supaya dapat bertolak ansur," katanya.

Berhubung isu Zon Bebas Pelabuhan Klang (PKFZ), Koh yang juga Menteri Di Jabatan Perdana Menteri, berkata beliau menyambut baik rancangan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak untuk membentangkan laporan pasukan petugas khas mengenai hasil siasatan PKFZ yang diterimanya, dalam mesyuarat mingguan Kabinet Rabu ini.

Katanya sebarang pengumuman mengenai keputusan atau tindakan yang akan dibuat, diserahkan kepada kuasa perdana menteri atau menteri yang memegang portfolio berkaitan.

"Masih terlalu awal untuk saya mencadangkan bentuk tindakan... untuk sesiapa saja bukan saya saja. Ia adalah kuasa mutlak PM selaku pengerusi kabinet untuk membuat keputusan muktamad dan langkah seterusnya yang perlu diambil.

"Sebagai sebuah parti, kami telah menjelaskan pandangan rakyat bahawa apa yang mereka minta hanyalah gambaran sebenar mengenai apa yang telah berlaku dan mereka menunggu tindakan seterusnya daripada kerajaan. Kami perlu menyedari sepenuhnya harapan rakyat," katanya.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

ADS