Hubungan antara kaum di Malaysia hanya retorik - hanya nampak baik di luar tetapi di dalam tidak baik, kata Felo Penyelidik Utama, Institut Alam dan Tamadun Melayu (ATMA), Prof Teo Kok Seong.
“Di negara ini, sifat curiga mencurigai antara kaum yang menjadi masalah,” katanya dalam wawancara dalam Mingguan Malaysia hari ini.
“Saya juga melihat keadaan ini berlaku kerana parti yang berasaskan kaum yang jelas memperjuangkan kaum mereka sahaja dan ini akan mengheret soal lain seperti bahasa dan sebagainya,” tegas beliau lagi.
Menurut beliau, sepatutnya ada satu bahasa pengantar sahaja dan bahasa lain boleh dipelajar tanpa ada masalah.
“Namun kepentingan sistem satu bahasa adalah penting untuk memupuk perpaduan di kalangan masyarakat berbilang kaum,” tegas Prof Teo.
Katanya, politik yang bersifat perkauman sangat bahaya dalam usaha memupuk perpaduan.
“Sekarang ini kita hanya melihat perpaduan di peringkat luaran dan tidak ada interaksi yang sebenar antara semua kaum.
“Komunikasi antara kaum ini, ada yang hanya bercakap bahasa pasar sahaja, malah ada yang tidak langsung boleh berbahasa Melayu,” tambahnya.
Oleh itu, tegasnya, perlu ada usaha untuk memupuk satu interaksi tulen antara kaum supaya perpaduan yang diperjuangkan selama ini akan berjaya.
Menyentuh mengenai media, Prof Teo berkata semua akhbar vernakular Melayu, Cina dan India bersikap perkauman.
“Ini biasa terutama di negara ini yang penduduknya berbilang kaum. Apabila suratkhabar bersifat perkauman, maka ia akan bersikap membela golongan tertentu dan dari segi berita, banyak berita yang disiarkan pun ke arah golongan tertentu,” katanya.
Prof Teo berkata beliau tidak kisah dicemuh kerana pandangannya itu “kerana beliau mewakili masyarakat Cina yang berfikiran sederhana”.
Ditanya mengenai peranan pemimpin politik dalam memulihkan perpaduan antara kaum, beliau berpandangan mesti ada had dalam politik.
.