Kumpulan ADUN Umno yang menentang menteri besar Terengganu bertindak memboikot perjumpaan antara mereka dengan barisan exco kerajaan semalam kerana beranggapan majlis itu tidak menjamin sebarang penyelesaian konflik yang semakin serius.
Seorang daripada 15 wakil rakyat yang tidak hadir, termasuk Idris, berkata insiden boikot majlis yang disertai Timbalan Presiden Umno, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Ketua Perhubungan Umno Terengganu, Datuk Seri Hishammuddin Hussein "tidak pernah berlaku sebelum ini".
ADUN Umno itu, yang enggan mendedahkan namanya, berkata tindakan tetap dilakukan untuk memberi mesej bahawa kepemimpinan Datuk Ahmad Said, sebagai menteri besar dan timbalan pengerusi perhubungan, sememangnya telah ditolak.
"Kalau setakat nak tunjuk muka, datang makan-makan, nak huha-huha baiklah kami tak payah pergi," katanya kepada Malaysiakini hari ini.
Perasaan tidak senang untuk menghadiri majlis itu kerana menteri besar sendiri tidak pernah mengambil sebarang usaha berjumpa dengan wakil-wakil rakyat yang mempertikai beliau, kata sumber lagi.
ADUN itu bagaimanapun menyambut baik kesediaan Muhyiddin untuk menjadi orang tengah dalam menyelesaikan kemelut berkenaan
Katanya, mereka sendiri tidak dapat berunding dengan Ahmad yang didakwanya "memandang rendah" wakil-wakil rakyat BN untuk menguruskan DUN masing-masing.
"Menteri besar sekarang seakan berusaha untuk ketepikan wakil-wakil rakyat. Kalau betul nak berjumpa (semalam) untuk kukuhkan parti, kena berbincang betul-betul.
"Ahmad tidak pernah jumpa kami sebelum ini untuk bincang masalah-masalah ini," tambah ADUN itu lagi.
"Kita menolak pemimpin-pemimpin negeri yang memandang rendah wakil-wakil rakyat seperti kami dan juga terhadap Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) dan jawatankuasa penyelaras DUN yang kita lantik.
"Bila dia lantik pegawai-pegawai DUN yang tidak setuju dengan wakil rakyat, sebab itulah kita tengok perpecahan berlaku di kampung-kampung," katanya lagi.
Berdasarkan kad undangan yang diterimanya kira-kira seminggu sebelum majlis, katanya, aturcaranya tidak menyebut agenda perbincangan berkaitan hal dalaman parti.
"(Agenda) itu tidak ada. Berkenaan itu (jika ada), saya tidak dijemput," jelasnya.