Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Kontrak Musa disambung setahun
Diterbitkan:  Sep 3, 2009 2:47 PM
Dikemaskini: 10:42 AM

Walaupun dipertikaikan, kontrak Tan Sri Musa Hassan sebagai ketua polis negara dilanjutkan setahun lagi sehingga 12 Sept tahun depan.

Pengumuman itu dibuat dalam satu kenyataan Ketua Setiausaha Kementerian Dalam Negeri, Datuk Seri Mahmood Adam hari ini.

Beliau berkata lanjutan kontrak itu telah diperkenankan oleh Yang di-Pertuan Agong Tuanku Mizan Zainal Abidin atas nasihat perdana menteri dengan perakuan Suruhanjaya Pasukan Polis yang dipengerusikan oleh Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hishammuddin Hussein.

Musa memulakan kerjayanya dalam pasukan polis sebagai seorang inspektor pada 11 Nov 1969.

Jawatan yang pernah disandangnya termasuklah penolong pengarah

Bahagian Narkotik Bukit Aman (1981), pensyarah Maktab Polis Kuala Kubu Baharu (1986), pegawai latihan di Bukit Aman (1991), timbalan penolong pengarah pendakwaan Bukit Aman (1995) dan timbalan pengarah Jabatan Siasatan Jenayah, Bukit Aman (2001).

Beliau juga pernah berkhidmat sebagai ketua polis Johor (2003), pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (2004) dan timbalan ketua polis negara (2005).

Musa, yang berkelulusan undang-undang, dilantik sebagai ketua poli negara pada 12 Sept 2006.

Kelmarin, PAS memohon campur tangan Yang di-Pertuan Agong supaya menolak pelantikan semula beliau dengan alasan peningkatan kadar jenayah yang gagal dibendung dan muncul dakwaan terbaru bahawa wujud penglibatan kongsi gelap dalam mengatur kenaikan pangkat pegawai polis.

Sementara Angkatan Muda PKR pula merancang menyerahkan memorandum membantah penyambungan kontrak Musa kepada menteri berkenaan esok.

Ketuanya Shamsul Iskandar Mohd Akin akan menyerahkan memorandum itu di Putrajaya jam 2.30 petang.

ADS