Ketua editor majalah humor politik Gedung Kartun, Zulkiflee Anwar Ulhaque dipanggil Kementerian Dalam Negeri (KDN) untuk 'berbincang' mengenai status permit majalah tersebut yang dirampas minggu lalu.
Menurutnya, yang lebih dikenali sebagai kartunis Zunar, bahagian penguatkuasaan KDN cawangan Selangor mahu menemuinya hari ini di pejabat kementerian itu di Shah Alam.
Bagaimanapun, katanya, beliau telah menangguhkan perjumpaan hingga minggu depan kerana sibuk sepanjang minggu ini.
"Saya belum menetapkan tarikh pertemuan minggu depan," katanya ketika dihubungi Malaysiakini.
Zunar berkata, pihak KDN menghubungi semalam untuk mengadakan perbincangan tersebut.
Selasa minggu lalu, pejabat majalah itu diserbu lapan pegawai kementerian dan 408 naskhah majalah dirampas.
Sehari kemudian, kilang percetakannya di Seri Kembangan, Serdang pula diserbu sekumpulan pegawai KDN dan 18 plet percetakan dirampas.
Tindakan itu dipercayai berkaitan kandungannya, antaranya memaparkan gelagat Datuk Seri Najib Razak yang tersilap mengibarkan bendera Mongolia bersempena sambutan hari kemerdekaan negara.
Isteri perdana menteri, Rosmah Mansor, pula digambarkan sebagai dalang yang menggerakkan wayang kulit berkepala suaminya, selain seorang yang menggunakan khidmat bomoh dan dilabelkan sebagai "Rosmoh."
Setebal 68 halaman, Gedung Kartun juga menggelarkan Najib sebagai "Datuk Nazak", dipercayai singkatan namanya dan bapanya Tun Abdul Razak Hussein.
Zunar bagaimanapun menafikan sekeras-kerasnya ia diterbitkan tanpa permit penerbitan.
Beliau berkata, pihaknya mematuhi semua syarat ketika memohon permit 30 Jun lalu.
Tambahnya, pada 3 Ogos lalu, seorang pegawai KDN memaklumkan bahawa permit Gedung Kartun telah diluluskan dan nombor siri permit itu telah diberi oleh pegawai kementerian sementara menunggu surat rasmi.