Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Zambry: Pakatan cuba wujud suasana kurang senang
Diterbitkan:  Sep 2, 2009 8:06 PM
Dikemaskini: 12:10 PM

Menteri Besar Perak Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir berkata tindakan ADUN Pakatan Rakyat mengadakan "Sidang DUN" hari ini hanyalah bertujuan mengelirukan dan mewujudkan suasana kurang senang di kalangan rakyat.

"Mereka membuat undang-undang sendiri dan menjalankannya sendiri...mereka ini sebenarnya syok sendiri, langsung tidak menghormati sistem demokrasi yang menjadi teras negara ini.

"Apa yang mereka buat adalah memprovokasi pihak polis...mereka minta ditahan dan kalau boleh digari supaya boleh ditunjukkan di dalam akhbar. Masa itu mereka akan mengatakan telah dizalimi," katanya mengulas kekecohan antara kumpulan ADUN berkenaan dengan polis berhampiran Bangunan Perak Darul Ridzuan di Ipoh hari ini.

Tiga ADUN- dua daripada DAP dan seorang PKR - ditahan polis pada kira-kira jam 10 pagi tadi selepas mereka cuba melepasi sekatan polis untuk menuju ke bangunan berkenaan bagi mengadakan persidangan.

Kumpulan berkenaan yang diketuai Menteri Besar Pakatan, Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin dan bekas Speaker V Sivakumar kemudian mengadakan persidangan di sebuah hotel di Ipoh.

Zambry berkata tindakan yang dibuat oleh 27 ADUN pembangkang hari ini sekadar menimbulkan kekeliruan kerana walaupun mendakwa persidangan yang dijalankan oleh kerajaan negeri sebelum ini tidak sah tetapi mereka tetap menghadirinya.

"Semua tindakan yang dilakukan ADUN Pakatan Rakyat itu hanyalah bertujuan mewujudkan perasaan tegang di kalangan rakyat.

"Jika kerajaan yang ada ini haram, mereka tidak perlu menghadiri sidang yang diadakan...mereka ini sebenarnya hipokrit dan merupakan talam dua muka," katanya.

Menteri Besar menjelaskan bahawa sidang DUN tidak perlu diadakan tergesa-gesa kerana masih mempunyai masa selama enam bulan berbanding sidang terakhir yang diadakan pada 3 Mei lalu.

Sivakumar yang juga ADUN Tronoh daripada DAP minggu lepas mengeluarkan notis mengenai persidangan yang akan diadakan hari ini.

Speaker Datuk R. Ganesan kemudian membuat kenyataan bahawa persidangan yang dipanggil itu adalah tidak sah kerana Sivakumar bukan lagi Speaker.

Reaksi PM

Sementara itu, mengulas insiden di Ipoh itu, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak mahu semua pihak mematuhi undang-undang negara demi menjamin ketenteraman awam.

Polis mempunyai kuasa untuk memastikan ketenteraman awam dapat dikawal, kata Perdana Menteri kepada media selepas mengumumkan pemenang Pertandingan Lagu 1Malaysia di Bangunan Perdana Putra, di Putrajaya.

Menjawab soalan lain, Najib amat kesal dengan insiden demonstrasi di Shah Alam Jumaat lepas, berhubung bantahan terhadap cadangan pembinaan kuil di sana dan ada pula yang membawa kepala lembu semasa demonstrasi itu.

Perdana Menteri menyerahkan kepada pihak berkuasa seperti polis dan Pejabat Peguam Negara untuk menentukan bentuk tindakan ke atas mereka yang terlibat dalam demonstrasi itu.

Demonstrasi dilaporkan diadakan oleh kalangan penduduk Seksyen 23 Shah Alam di hadapan bangunan Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor di Shah Alam bagi membantah pembinaan kuil di seksyen tersebut.

Mengulas mengenai insiden Jalur Gemilang dibakar di Indonesia hari ini ekoran para penunjuk perasaan di sana tidak berpuas hati dengan beberapa isu tertunggak antara Malaysia dan Indonesia, Najib berharap ia tidak akan menjejaskan hubungan akrab kedua-dua negara.

Kejadian itu bukan terbit daripada kehendak kerajaan Indonesia, kata Najib, sambil menambah beliau dan Presiden Indonesia Susilo Bambang Yudhoyono juga mempunyai hubungan yang akrab dan saling menghubungi antara satu sama lain. Bernama

ADS