Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
NUJ kesal jurufoto ditangkap dan dikasari
Diterbitkan:  Sep 2, 2009 5:03 PM
Dikemaskini: 10:13 AM

Kesatuan Kebangsaan Wartawan Malaysia (NUJ) kesal dengan tindakan polis yang didakwa memukul jurugambar akhbar Nanyang Siang Pau, Stanley Tan, sewaktu menangkapnya pagi tadi.

Stanley ditugaskan untuk membuat liputan usaha ADUN Pakatan Rakyat untuk masuk ke bangunan Sekretariat Kerajaan Negeri (SUK) Perak, untuk mengadakan sidang Dewan Undangan Negeri (DUN).

Dalam satu kenyataan hari ini, majlis eksekutif NUJ berkata Stanley hanya menjalankan tugas profesionalnya sebagai seorang jurugambar.

"Anggota polis yang dikatakan memukul Stanley Tan harus tahu bahawa jurugambar itu memakai kad pengenalan media," kata Presiden NUJ, Norila Daud.

Katanya, tindakan kekerasan oleh anggota polis yang menangkap Stanley "mencerminkan dia tidak langsung menghormati undang-undang".

"NUJ juga tahu bahawa pihak polis berada di situ untuk menjaga undang-undang, tetapi jurugambar itu bukan sebahagian daripada pihak yang mencetuskan masalah di situ," tambahnya.

Sehubungan itu, katanya, NUJ menggesa pihak polis supaya tidak melakukan kekerasan ketika menjalankan tugas mereka, terutama apabila pihak media juga perlu menjalankan tugas mereka.

Stanley adalah antara tujuh orang yang ditangkap polis pagi tadi.

Tiga daripada mereka adalah ADUN Pakatan Rakyat - Datuk Ngeh Koo Ham (Setiawan), Keshvinder Singh (Malim Nawar) dan Chang Ming Kai (Simpang Pulai). Tiga lagi yang itangkap ialah orang awam.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

ADS