Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

kemaskini 6.25pm Sembilan orang wakil rakyat Terengganu mahu tuntutan mereka ditunaikan sekiranya Umno mahu mengelakkan mereka melompat kepada PKR.

ADUN Hulu Besut, Nawi Mohamad berkata wakil-wakil rakyat berkenaan perlu dilantik sebagai pengerusi penyelaras DUN masing-masing dan juga kuasa untuk menamakan anggota-anggota Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK).

Kedua-dua tuntutan ini, sekiranya ditunaikan, boleh memulihkan semula hubungan antara pemimpin-pemimpin Umno di Terengganu, katanya ketika dihubungi Malaysiakini hari ini.

Wakil rakyat Umno kini berpecah dua susulan pelantikan mengejut Datuk Ahmad Said sebagai menteri besar, menggantikan Datuk Seri Idris Jusoh, selepas pilihan raya umum 2008.

Nawi menambah, tuntutan berkenaan akan disuarakan kepada Timbalan Presiden Umno Tan Sri Muhyiddin Yassin yang akan mengikuti Program Memperkasa Umno Semula di Kuala Berang, esok.

Katanya, program yang melibatkan ahli-ahli jawatankuasa lapan bahagian di Terengganu disusun bagi merapatkan semula hubungan antara penyokong Ahmad dengan penyokong Idris.

Selain Muhyiddin, pengerusi perhubungan Umno negeri Datuk Seri Hishammuddin Hussein, yang juga naib presiden parti, akan menyertai program bertemu rakyat di Setiu, esok.

Ditanya sama ada program berkenaan boleh membuahkan hasil, Nawi berkata ia mungkin berjaya sekiranya pucuk pimpinan mengambil kira tuntutan yang dikemukakan.

"Kena ada kesungguhan dari kedua-dua pihak (pro-Ahmad dan pro-Idris).

"Perkembangan isu ini setakat ini sangat tidak baik kepada BN. Orang boleh nampak tiada kekuatan dalam parti. Kalau datang pilihan raya sekarang, kita pasti kalah," tambahnya.

Nawi juga berkata, spekulasi hangat mengenai usaha lompat parti wakil-wakil rakyat BN itu "sudah semakin reda" sekarang dan cakap-cakap mengenai isu itu semakin jarang kedengaran.

"Kalau wakil rakyat ini masuk PKR, tidak akan dapat untung apa-apa, cuma dapat kepuasan secara peribadi," katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

ADS